PETALING JAYA: Majikan memerlukan masa dua tahun untuk bangkit semula selepas menerima tempias pandemik Covid-19 dan bencana banjir sebelum boleh melaksanakan sistem gaji minimum RM1,500.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya juga terbuka untuk mengadakan perbincangan bagi meningkatkan gaji minimum selepas keadaan kembali pulih sepenuhnya.
“Sebarang peningkatan gaji minimum pada masa ini akan meningkatkan kos operasi majikan dan ini akan mengakibatkan keadaan sukar kerana pendapatan majikan kebanyakannya menurun antara 20 peratus sehinggalah 60 peratus selain kos operasi sukar untuk dikurangkan.
“Keadaan demikian menyebabkan banyak majikan terpaksa mengambil langkah drastik seperti pembekuan kenaikan tahunan dan bonus, pembekuan pengambilan pekerja baharu, pemotongan gaji dan jika perlu terpaksa memberhentikan pekerja,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Menurut beliau, majikan memerlukan perniagaan yang berdaya tahan supaya mereka juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyarankan setiap pekerja tetap syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dibayar gaji minimum RM1,500 sebulan.
Dalam pada itu Syed Hussain berkata, pembayaran gaji di sektor swasta pada umumnya hendaklah berdasarkan kemampuan majikan.
“Syarikat GLC dan GLIC adalah syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan pembayaran gaji terendah yang ditetapkan pada kadar RM1,500 adalah dalam kemampuan kewangan mereka.
“Kadar itu tidak akan menimbulkan kesan negatif terhadap kos operasi dan kedudukan kewangan syarikat syarikat GLC dan GLIC,” katanya. – UTUSAN











