KEBANYAKAN wanita Korea sangat menitikberatkan kecantikan dan penjagaan kulit sejak dari kecil, remaja sehingga dewasa.
Oleh kerana penjagaan rapi dalam jangka waktu yang panjang, kulit mereka lebih kelihatan muda, putih dan bersih. Ini boleh dilihat dengan pelbagai pilihan produk penjagaan wajah dan rawatan yang berasal dari Korea.
Pengarah Perubatan di Dermourra Medical Clinic, Dr. Nadya Amin Shaharudin menjelaskan, penjagaan kulit wanita Korea bukan sekadar mencuci dan memakai pelembap tetapi ada 10 langkah dalam rutin penjagaan wajah mereka.
Bercakap mengenai rawatan, dia yang juga doktor estetik berkata, banyak teknologi baharu yang berasal dari Korea antaranya Polydeoxyribonucleotide (PDRN) dan laser untuk merawat dan meremajakan kulit.
RAWATAN PDRN
Rawatan PDRN daripada asid deoksiribonukleik (DNA) ikan salmon memiliki tiga kaedah iaitu melalui suntikan, dermapen atau mesotherapy yang dilakukan pada bahagian kulit wajah.
Ia berfungsi bagi mengatasi pelbagai masalah kulit seperti memperbaiki sel kulit terutama yang mempunyai masalah kulit menipis, penuaan kulit, kulit yang kusam dan juga rawat parut.
TANPA SOLEKAN
Wanita di Korea ketika remaja sangat menitikberatkan produk penjagaan wajah asas dan ringkas serta tanpa secalit solekan. Jika kita lihat, walaupun mereka sudah dewasa, wanita Korea lebih memilih untuk memakai light makeup berbanding heavy makeup. Pilihan produk penjagaan wajah atau skincare pula selamat, mempunyai bahan yang bagus dan lebih natural.
PRODUK BERKUALITI
Terdapat banyak produk dari Korea yang sangat berkualiti dan harga juga masih mampu milik. Produk Korea merupakan made for Asian skin jadinya lebih sesuai untuk wanita Malaysia.
Bahan utama dan popular digunakan dalam produk Korea untuk menghasilkan kulit yang cantik dan sihat antaranya, snail mucin, propolis, teh hijau, niacinamide dan centella asiatica.
MAKANAN BERKHASIAT
Dari segi pemakanan pula, wanita Korea kurang mengambil makanan berminyak dan lebih memilih makanan yang berkhasiat seperti makanan tradisi mereka dan minum air yang banyak untuk mendapatkan kulit yang lebih cantik.
AWAS KAEDAH CUBA JAYA PRODUK
Pendidikan kulit sangat penting dan jika influencer atau pempengaruh media sosial boleh memberi maklumat yang baik dan betul jadinya sangat bagus. Namun begitu, ada juga segelintir yang menyampaikan maklumat salah ataupun tidak melakukan kajian yang betul sehingga boleh mengelirukan masyarakat. Nasihat saya, dapatkan maklumat mengenai pendidikan kulit daripada orang yang bertauliah dan berpengalaman. Kadang-kadang jika terlalu mengikut trend atau kaedah cuba jaya, kulit mungkin boleh jadi lebih teruk.










