PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 8 Mac lalu tentang aktiviti solat jemaah di masjid, surau boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal mulai 1 April ini amat menggembirakan umat Islam.
Selepas lebih dua tahun solat dalam keadaan penjarakan fizikal ekoran wabak Covid-19, orang beriman sudah pasti amat bersyukur dengan pengumuman yang memang amat ditunggu-tunggu itu.
Ismail Sabri berkata, keputusan berkenaan diambil susulan keputusan Malaysia beralih dari fasa peralihan ke endemik bermula April ini. Bagaimanapun, pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
Marilah kita berdoa supaya ia dapat direalisasi di seluruh negara selain dalam masa sama terus menjaga SOP terutama bab pemakaian pelitup muka dan hidung.
Bayangan cahaya di hujung terowong mulai kelihatan apabila kerajaan Arab Saudi pada 6 Mac lalu membenarkan para jemaah menunaikan solat rapat saf di Masjidilharam selepas pihak berkuasa menarik balik sekatan Covid-19 di negara itu.
Lapor Arab News, Pentadbiran Am Urusan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi mengaktifkan semula pelan operasi bagi membolehkan solat berjemaah dengan kapasiti penuh dilaksanakan.
Berikutan itu, para jemaah dilihat kembali merapatkan saf selepas peraturan penjarakan sosial ditamatkan untuk solat dan tawaf.
Realitinya, Covid-19 banyak mengajar ‘ilmu’ baharu kepada umat Islam. Kita pernah lalui solat Jumaat dengan kapasiti 40 jemaah, 12 jemaah dan juga enam jemaah.
Semua ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pintu ijtihad dalam Islam sentiasa terbuka.
Yang lebih utama, Islam itu mencakupi semua hal dan relevan setiap masa dan zaman. Semua masalah, ada penyelesaian.
Demikian juga pelaksanaan solat sunat tarawih dan solat hari raya secara berjemaah di rumah masing-masing.
Semua ini diharap cukup memberi pengalaman khasnya kepada para bapa untuk terus istiqamah memimpin keluarga dalam solat berjemaah pada solat-solat fardu jika ada keuzuran hadir di masjid dan surau.
Nah, kini peluang sudah tersedia untuk kita kembali merapatkan saf selain menyambung semula program-program kuliah dan ceramah di masjid secara bersemuka.
Janganlah hendaknya ada lagi yang mencari pelbagai alasan untuk ponteng.
Lebih-lebih lagi kita dalam 21 atau 22 hari lagi akan menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak.
Pertamanya, mari kita banyakkan berdoa sebagaimana antara doa para salaf al-soleh. Antara doa mereka ialah: “Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu).”
Bagi mereka yang sibuk sangat dengan hal duniawi sehingga tak sempat menjejak kaki ke masjid, berilah masa untuk berjemaah di masjid dan surau. Jangan sampai anugerah masa dan usia yang diberi Allah disia-siakan dengan kesibukan dunia. Siang malam bekerja mencari rezeki sehingga diperdaya oleh syaitan. Walhal segala rezeki itu datangnya daripada Allah.
Jaga solat iaitu hubungan kita dengan Allah dan terus berusaha, insya-Allah rezeki akan berkat. Yang penting, dalam mengejar dunia jangan lupakan nasib kita di akhirat.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” (al-Qasas: 77)
Imam Ibnu Katsir dalam mengulas ayat ini menyebut: “Gunakanlah yang telah Allah anugerahkan untukmu dari harta dan nikmat yang besar untuk taat pada Rabbmu dan membuat dirimu semakin dekat pada Allah dengan pelbagai macam ketaatan. Dengan ini engkau dapat menggapai pahala di kehidupan akhirat.” (Tafsir al-Quran Al-Azim, 6:37)
Sebagai persediaan awal, bagi yang masih berhutang puasa Ramadan, elok segerakan qada pada awal Syaaban agar tidak tertunggak ke tahun hadapan. Bagi yang ingin puasa sunat pula, jika bukan ahli puasa hanya boleh berbuat demikian sehingga 15 Syaaban.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila telah masuk pertengahan Sya’ban, maka janganlah engkau berpuasa.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmidzi).
Namun, ahli hadis berbeza pandangan tentang status hadis ini. Imam Ahmad melemahkannya dan menilainya sebagai hadis mungkar (yang dinafikan datangnya daripada Nabi SAW). Sebahagian ulama seperti Imam al-Tirmizi dan lain-lain mensahihkannya.
Bagi ulama yang menganggap hadis ini sahih, mereka berpendapat tidak harus hukumnya memulakan puasa sunat setelah pertengahan Syaaan, iaitu bermula 16 Syaaban dan seterusnya. Ini adalah pendapat dalam mazhab Syafie.
Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah (2/82) berkata:
“….daripadanya (hadis-hadis) puasa dalam bulan Syaaban ialah hadis Aisyah r.a yang menyatakan: “Tidak aku melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan bulan Ramadan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)
“Tidaklah baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Syaaban, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban”, dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata iaitu “Adalah baginda berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya kecuali sedikit.”
Hadis-hadis ini tidaklah menafikan hadis yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas separuh Syaaban. Sebabnya pengharaman tersebut adalah bagi sesiapa yang hanya berpuasa selepas separuh tersebut dan tidak menghubungkan puasanya (dengan berpuasa pada hari Nisfu Syaaban). (Sumber: Jabatan Mufti Negeri Terengganu)
Berpuasa pada hari tersebut diharuskan kerana ia termasuk hari-hari putih yang sunat berpuasa setiap bulan seperti kenyataannya dalam hadis berikut: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa ia berkata: “Nabi SAW telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara iaitu puasa tiga hari setiap bulan (13, 14 dan 15 haribulan), dua rakaat duha dan solat witir sebelum aku tidur.” (Riwayat Bukhari)
Maka disimpulkan seperti yang ada dalam fatwa Jabatan Mufti Brunei bahawa dalam mazhab Syafie bahawa hukum berpuasa selepas Nisfu Syaaban adalah haram dan tidak sah.
Pengharaman berpuasa itu tidaklah mutlak kerana ia mempunyai pengecualian iaitu puasa qada, puasa kaffarah, puasa nazar, puasa yang sudah menjadi adat atau kebiasaan pelakunya dan puasa sunat yang disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari di separuh pertama Syaaban. – UTUSAN
PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.










