KATAKANLAH menjelang senja Sabtu 12 Mac ini, kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah cecah 10 ke atas. Apa tandanya? Alamat berbahayalah kepada UMNO.
Seperti mana berlaku memasuki Maghrib 9 Mei 2018 beberapa kerusi Parlimen di Sarawak milik BN tumbang satu persatu. Ia amat mengejutkan berbanding keyakinan tinggi menang besar kerusi DUN pada 2016 – demikian ibaratnya jika di perenggan pertama itu berlaku.
Tetapi apakah ia mampu mengulangi pencapaian lapan kerusi mereka tempoh hari PRU14, sebelum campur tiga lompat, sampai memiliki 11 kerusi?
Kalau ikut data saintifik pilihan raya, Bersatu masih guna pakai formula agihan kerusi dihasilkan Pakatan Harapan (PH) ketika parti itu masih bersekutu dengan DAP, PKR dan Amanah semasa PRU14.
Iaitu pergantungan Bersatu kepada sokongan 60 peratus pengundi Melayu dan 40 peratus bukan Melayu yang merupakan penyokong PH.
Hasil formula PH itulah Bersatu berjaya memenangi lapan kerusi, kebanyakannya kerusi marginal meliputi Gambir, Puteri Wangsa, Tenang, Kempas, Bukit Kepong, Bukit Permai, Larkin dan Permas. Lapan kerusi itu daripada 17 yang diperuntukkan kepada Bersatu. Baki sembilan lagi kerusi yang kalah merupakan majoriti Melayu.
Biarpun begitu, parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu masih bernasib baik kerana tiga kerusi lompat dari UMNO muncul di saat-saat percaturan kedudukan kerusi menteri besar muncul. Cuma dari tiga itu, Endau dikatakan masih kerusi selamat Bersatu kali ini, berbanding Sedili dan Johor Lama.
Dan bagaimana pula peluang dua sekutu Perikatan Nasional (PN), Pas dan Gerakan?
Di atas kertas, kedua-dua parti bakal mengulangi rekod ‘cemerlang’ dalam PRN Melaka tempoh hari – kalah semua kerusi. Baik Pas mahupun Gerakan, mereka tiada kekuatan sokongan dan akar umbi di Johor.
Pas bertanding di 15 kerusi sementara Gerakan lapan, dengan 33 kerusi diwakili tonggaknya, Bersatu.
Situasi sama dijangka dialami pendatang baharu PRN ini. Merujuk kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), melainkan ada `kuasa ajaib’ merubahnya. – UTUSAN










