Pendedahan terhadap pengurusan jenazah sejak usia muda, mendorong Sharul Aqmal Mohamad, 32, mendalami kerja sukarela itu dengan mengasaskan badan bukan kerajaan (NGO), Amal Care.
Pernah dalam suatu insiden, berlaku tiga kematian di kediamannya iaitu kawasan Simpang Renggam.
Malangnya van jenazah masjid tidak cukup pemandu untuk menghantar jenazah ke tanah perkuburan.
“Secara spontan saya secara sukarela menawarkan diri untuk membantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bertitik tolak daripada itulah Pengurus Amal Care Services ini terbabit dalam kerja murni itu. Tanpa sedar sudah 17 tahun dia setia membantu dalam ibadah fardhu kifayah itu.
URUS JENAZAH RAKAN
Sharul mengakui sewaktu mula-mula terbabit dengan urusan jenazah, timbul rasa takut dalam dirinya lantaran sering dimomokkan dengan peristiwa seram apabila membawa jenazah.
Namun alah bisa tegar biasa, lama-kelamaan dan sesuai pertambahan usia, dia semakin berani dan tidak lagi berasa takut. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan setiap manusia pasti akan melalui saat menjadi jenazah.
Pencetus keberanian Sharul terhadap jenazah ialah bila berdepan detik kematian rakan baiknya yang meninggal di pangkuannya selepas mereka pulang dari program sukan sekolah pada usianya 15 tahun.
“Kawan saya meninggal dunia akibat kemalangan motosikal dengan lori. Waktu itu saya ada bersamanya. Dia meninggal dunia atas pangkuan saya.
“Kehilangan arwah yang memang rapat dengan saya meninggalkan kesan mendalam hingga saya nekad mahu terbabit dalam kerja pengurusan jenazah.
“Saya nekad belajar sebab waktu itu saya hanya solat sekadar ikut perbuatan imam bersolat jenazah” katanya mengimbau kenangan.
AMAL CARE
Amal Care Services bertapak di Taman Puteri Mas, Simpang Renggam di Kluang, Johor. Pelbagai peringkat usia membabitkan diri sebagai sukarelawan pengurusan jenazah.
Menguruskan kira-kira 60 hingga 80 jenazah setiap bulan, Sharul dibantu kira-kira 12 sukarelawan aktif.
“Sukarelawan berlatar belakang pelbagai profesion antaranya jurutera, pakar motivasi dan ahli perniagaan,” katanya.
Sharul kini menjadikan pengurus mayat sebagai kerjayanya sepenuh masa berkata, sekiranya berdepan dengan kes yang memerlukan perhatian termasuk kematian membabitkan mayat tanpa waris, mualaf mahupun orang susah yang tidak mempunyai wang, perbelanjaan akan ditanggung sepenuh oleh pihaknya.
Walaupun kerjaya itu dilihat tidak popular dan bukan menjadi pilihan anak muda, ia tetap memberi banyak kelebihan pada dirinya termasuk banyak menginsafkan diri ketika membantu menguruskan jenazah.
“Saya seolah-olah sentiasa bersiap sedia 24 jam setiap hari bukan sahaja untuk menerima panggilan untuk urusan kematian, tetapi dalam masa sama mengingatkan saya untuk menerima panggilan dari Ilahi satu hari nanti.
“Saya bersyukur kerana Allah melorongkan kehidupan saya ke arah ini. Saya berdoa urusan kematian saya dan keluarga nanti juga dipermudahkan, insya-Allah,” katanya.
CAJ SEIKHLAS HATI
Amal Care Services memiliki lima van jenazah, sebuah ambulans, sebuah lori kabin bergerak untuk pengurusan jenazah dan sebuah van logistik untuk membawa katil hospital dan barangan lain.
Walaupun perlu menetapkan harga bagi penyediaan kelengkapan untuk mengurus jenazah, Amal Care Services tetap memikirkan nasib golongan kurang berkemampuan.
“Kepada yang tidak mampu, kami hanya caj seikhlas hati supaya urusan pengebumian tidak tertangguh lama hanya kerana faktor wang,” katanya yang menjelaskan caj pengurusan jenazah adalah RM450 sekepala.
Jelasnya, jauh di lubuk hatinya, dia sedih melihat kejadian waris yang dikenakan caj melampau pihak pengurusan jenazah yang membabitkan kos antara RM700 ke RM800.
Sharul Aqmal yang mesra disapa Amal berkata, disebabkan faktor itulah dia memulakan perkhidmatan itu kerana masalah sama masih berlarutan terhadap waris jenazah terutama di hospital-hospital.
Terlibat pelbagai kerja kebajikan
Sharul Aqmal turut bersyukur apabila selain sukarelawan yang turut sama membantunya menawarkan khidmat percuma, mereka juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan lain seperti pemberian bakul makanan serta kerusi roda dan katil hospital kepada penerima yang memerlukan.
Malah semasa menyertai aktiviti berkenaan, terdapat banyak pengalaman dan pengetahuan yang boleh diperolehi seperti kemahiran berkomunikasi dengan baik, kemahiran berorganisasi dan sebagainya.
“Kami juga melakukan aktiviti bantuan bakul makanan kepada keluarga terjejas Covid-19 selain memberi makanan percuma kepada orang ramai pada setiap Jumaat berhampiran persimpangan lampu isyarat ke Taman Puteri Mas, Simpang Renggam,” katanya.










