Kita tidak naif percaturan geopolitik kuasa besar

Kita tidak naif percaturan geopolitik kuasa besar

MALAYSIA perlu bijak mengamalkan dasar luarnya dan tidak perlu berpihak kepada mana-mana kuasa besar. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK memeranjatkan apabila Malaysia bersama-sama 140 ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi sokongan terhadap resolusi Perhimpunan Khas PBB (UNGA) mengenai Ukraine. Tidak mengejutkan jua apabila Rusia, Belarus, Syria, Korea Utara dan Eritrea membuat keputusan membantah resolusi tersebut. Dalam kalangan ahli ASEAN, lapan negara menyokong manakala Laos dan Vietnam mengambil pendirian berkecuali.

Keputusan Malaysia menyokong resolusi UNGA bukan kerana didesak seperti yang berlaku apabila duta Kesatuan Eropah (EU), Perancis dan Jerman ke Malaysia iaitu masing-masing Michalis Rokas, Roland Galharague dan Peter Blomeyer mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur (KL) dan membuat saranan supaya Malaysia menyokong resolusi berkait Ukraine beberapa hari sebelum UNGA.

Bukannya kita terkecuali daripada tekanan pihak luar tetapi lazimnya tekanan seperti ini tercetus secara tersirat dan bukan secara terbuka seperti dipamerkan oleh ketiga-tiga duta itu. Tidak dinafikan gambaran yang tidak baik sudah pasti terbentuk oleh masyarakat antarabangsa kesan daripada sidang akhbar tersebut seolah Malaysia menyokong Rusia sedangkan kita mengambil sikap berkecuali kerana tidak mahu mengeruhkan lagi suasana. Dalam hal ini, Eropah dan Amerika Syarikat (AS) tidak boleh dianggap suci kerana tindakan blok ini juga menjerumus kepada suasana konflik di Ukraine.

Seharusnya Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dijadikan landasan mencari titik penyelesaian konflik tetapi kehadiran kuasa besar yang terlibat secara langsung seperti AS, United Kingdom (UK), Perancis dan Rusia menyukarkan keadaan sehingga memaksa draf resolusi yang diveto oleh Rusia dibawa ke UNGA di mana semua 193 ahli mempunyai satu undi dan tiada negara boleh guna kuasa veto. Tetapi resolusi UNGA tidak mempunyai kekuatan perundangan untuk memaksa negara terkait menerima pakai kehendak resolusi.

Ketika membahaskan usul resolusi, wakil tetap Malaysia ke PBB, Datuk Syed Mohamad Hasrin Aidid sekali lagi menegaskan kekecewaan negara apabila UNSC gagal melaksanakan amanah. Keputusan KL menyokong resolusi adalah bersandarkan kepada justifikasi demi mempamerkan solidariti rakyat Malaysia bersama-sama rakyat Ukraine.

Walaupun KL akur resolusi UNGA itu tidak mampu memaksa pihak yang bertelagah mencari titik persetujuan untuk mengurangkan kesengsaraan mangsa perang, tetapi setidak-tidaknya kita menaruh kepercayaan kepada institusi PBB.

KOTAK HITAM

KL juga tidak pernah gentar membuat keputusan di luar jangkaan demi mencapai matlamat disasarkan. Ketika blok Barat diketuai AS sibuk menuding jari pada kumpulan pemberontak Ukraine yang dibantu oleh Rusia menembak jatuh pesawat MH17 pada Julai 2014 di Donesk, KL dengan berani dan senyap-senyap menghubungi pemberontak demi merungkai kebuntuan ketika itu. Kebuntuan banyak disebabkan oleh percaturan geopolitik kuasa besar di antara AS dan Rusia.

Tindakan menongkah arus diplomasi antarabangsa ini mengakibatkan kesan yang positif dalam tiga perkara, iaitu perolehan kotak hitam pesawat, jenazah mangsa berjaya dibawa keluar dari kawasan kemalangan dan pasukan penyiasat dari Organisasi Kerjasama dan Keselamatan Eropah (OSCE) dibenarkan meninjau kawasan kemalangan yang pada ketika itu dalam kawalan pemberontak.

Selepas setahun peristiwa MH17, Rusia masih enggan bekerjasama sepenuhnya dengan pasukan penyiasat. Situasi ini memaksa KL yang pada ketika itu ahli tidak tetap UNSC membuat usul draf resolusi kepada badan tersebut berkait penubuhan tribunal antarabangsa untuk menyiasat kejadian.

Walaupun diketahui usul tersebut sudah pasti mendapat tentangan daripada Rusia, Menteri Pengangkutan kita bagi pihak pasukan penyiasat MH17 terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine meneruskan rancangan mengemukakan usul demi memastikan segala usaha diplomasi dilakukan supaya keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka tercapai.

Terbukti Malaysia akan dan sanggup melakukan apa jua kaedah demi keadilan dan perungkaian isu tercapai. Dalam hal kemelut Ukraine, ia tidak tercetus sejak beberapa minggu lepas tetapi sebenarnya bermula sebaik sahaja Perang Dingin tamat, iaitu bila runtuhnya Tembok Berlin pada 1989 diikuti terbubarnya Kesatuan Soviet pada 1991.

Malaysia walaupun sebuah negara kecil tetapi KL tidaklah jahil atau naif dengan percaturan geopolitik kuasa besar, ini termasuk apa yang tercetus di rantau Eropah Timur. Malah Malaysia juga sering terkait dengan percaturan geopolitik di rantau Indo Pasifik atau lebih spesifik hal tuntutan bertindih Laut China Selatan.

Walaupun yang terkait secara langsung adalah Malaysia, Brunei, Vietnam, Filipina dan China tetapi kehadiran kuasa besar lain merumitkan lagi isu ini. Terlibat juga adalah AS, Australia dan UK melalui AUKUS. Malah India dan Jepun turut terpalit dalam geopolitik Laut China Selatan melalui landasan Dialog Keselamatan Qudrilateral (Quad) bersama-sama AS dan Australia.

Apa yang penting, negara kecil seperti Malaysia apabila dikelilingi oleh kuasa besar dalam percaturan geopolitik perlu bijak mengamalkan dasar luarnya dan tidak perlu berpihak kepada mana-mana kerana lazimnya jika berpihak, kemelut akan menjadi lebih buruk. Itu pendirian KL dalam hal Ukraine. – UTUSAN

PENULIS ialah geostrategis dan Felow Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×