PRN Johor: Tercapaikah cita-cita BN, PN?

PRN Johor: Tercapaikah cita-cita BN, PN?

PRU16: Pengundi kritikal tolak parti perkauman, peminpin tiada integriti - Penganalisis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUNDI Johor dijangka membuat keputusan bijak memilih 56 wakil mereka daripada 239 calon yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini. Mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bertanding di semua kerusi dengan harapan untuk menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

BN bertanding 56 kerusi termasuk UMNO (37), MCA (15) dan MIC (4). PN bertanding 56 kerusi termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 33, Pas (15) dan Gerakan (8). Pakatan Harapan (PH) pula bertanding di 30 kerusi termasuk PKR (20), DAP (14) dan Parti Amanah Negara (Amanah) 16 sementara Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) 42, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) 7, Parti Warisan Sabah (Warisan) 6, Parti Bangsa Malaysia (4), Parti Bumiputra Perkasa Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing satu kerusi dan Bebas (6).

Pengundi Johor buat pertama kalinya menyaksikan pertembungan antara 14 parti politik dengan cita-cita membentuk kerajaan negeri. Saingan hebat dijangka berlaku antara tiga gabungan parti politik utama, iaitu BN, PN dan PH. Dua gabungan parti utama, iaitu BN dan PN akan bertanding di kesemua 56 kerusi. Secara keseluruhannya, berlaku pertembungan antara dua hingga tujuh penjuru di semua DUN.

Pertembungan tujuh penjuru berlaku di dua DUN, empat penjuru di 35 DUN, lima penjuru di lapan DUN, tiga penjuru di tujuh DUN, enam penjuru di empat DUN. Tidak ada satu DUN pun melibatkan pertembungan satu lawan satu.

Dalam pada itu, ada pengundi baharu dan muda susulan kelulusan Undi18 merangkumi 30 peratus daripada jumlah pengundi di Johor. Bagaimanapun, hanya lapan calon muda berumur antara 18 hingga 29 tahun bertanding pada PRN ini. Selebihnya adalah golongan yang berada dalam lingkungan umur 30 hingga 70 tahun termasuk 124 calon berumur 30 hingga 49 tahun dan 107 calon veteran berumur 50 tahun ke atas.

DUN Tiram dan DUN Kempas dijangka menarik perhatian kerana berlakunya pertembungan tujuh penjuru. Bagaimanapun, pertembungan di DUN Benut dan DUN Bukit Kepong akan lebih menarik dan menjadi tumpuan pemerhati politik. Ini kerana DUN Benut ditandingi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad. Beliau adalah Pengerusi BN Johor malah merupakan calon bakal menteri besar (MB) sekiranya BN membentuk kerajaan negeri. DUN Benut terletak di kawasan Parlimen Pontian, yang dianggap kubu kuat UMNO dengan majoriti pengundi, iaitu 70 peratus adalah Melayu.

PRU15

DUN Bukit Kepong pula ditandingi oleh Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang bukan sahaja bekas MB kerajaan PH, malah Setiausaha Bersatu Johor. Beliau juga disebut-sebut sebagai calon MB sekiranya gabungan PN menang. DUN Bukit Kepong terletak dalam Parlimen Pagoh dianggap sebagai kubu Bersatu yang mempunyai pengaruh kuat Pengerusi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hampir 70 peratus pengundi DUN ini juga adalah orang Melayu.

Dengan itu, tidak syaklah DUN Benut dan DUN Bukit Kepong adalah medan pertempuran, bukan sahaja untuk mengukur kecenderungan dan sokongan pengundi Melayu, malah memberi bayangan awal pendirian politik orang Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara itu, calon termuda dalam PRN ini adalah dua orang yang bertanding di DUN Mengkibol mewakili BN dan DUN Tangkak dari Pejuang. Kedua-duanya berumur 26 tahun. Maka keputusan di kedua-dua DUN ini dijangka menjawab pelbagai andaian terhadap kecenderungan politik dan pilihan pengundi muda menjelang PRU15.

Tinjauan awal lapangan menunjukkan tidak timbul sebarang gelombang perubahan yang nyata seperti berlaku pada PRU14. Malah tidak banyak isu nasional seperti 1MDB yang menggoncang dominasi BN pada PRU14 ditimbulkan sebagai bahan kempen bagi menarik perhatian pengundi. Sebaliknya, kempen-kempen politik nampaknya lebih menjurus menuduh parti lawan kononnya bertanggungjawab menyebabkan negara terjerumus dalam kancah politik ketidakstabilan.

Secara umumnya, BN dan PN dilihat mendahului para pesaing lain. Ternyata PH dan parti-parti lain kecuali DAP tinggal jauh ke belakang. Sementara itu, ketiadaan parti-parti yang menentang BN bergabung dalam satu blok besar akan timbul perpecahan dalam kalangan undi Melayu yang memberi kelebihan kepada BN. Malah pemikiran strategik Timbalan Presiden UMNO merangkap Ketua Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat banyak membantu UMNO meraih sokongan pengundi pelbagai kaum.

Apa pun, pengundi Johor tidak perlu terpinga-pinga terhadap calon dan parti mana harus dipilih sebaliknya bijak memilih yang bersih, berintegriti dan mampu berkhidmat untuk kepentingan dan kebajikan rakyat. Sayugia diingatkan, pengundi Johor bertanggungjawab memilih pada kali ini, parti yang benar-benar mampu membentuk kerajaan negeri yang kukuh dan stabil dan berkebolehan merancakkan pembangunan negeri demi kemakmuran, kebahagiaan serta kesejahteraan rakyat Johor. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×