JENAKA keluar barisan masuk bulatan cukup popular satu ketika dahulu. Ia merujuk kepada persengketaan antara Barisan Nasional (PN) dan Pas.
Keluar barisan bermaksud keluar BN dan masuk bulatan maknanya sertai Pas. Bulatan cukup sinonim dengan parti Islam itu kerana lambang bulan yang mereka gunakan.
Lambang itu juga adalah asas yang mengikat Pas dengan ahli-ahli. Ia kelihatan hampir di mana sahaja jika kita menjejak kaki ke kawasan kubu kuat Pas. Ada yang sanggup mengecat rumah dengan warna hijau dan logo bulan terpampang di bumbung rumah mereka.
Ada yang melabelkan perbuatan cat logo parti pada rumah itu sebagai taksub. Tetapi realitinya itu melambangkan komitmen dan semangat para penyokong untuk mempertahankan parti itu.
Sebab itu tabung-tabung yang diedarkan ketika ceramah sentiasa diisi kerana para penyokong yakin dengan perjuangan Pas. Yakin parti itu tidak akan menggadaikan prinsip demi mendapatkan kuasa.
Namun, perkembangan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka dan Johor telah mengguris hati para penyokong parti itu. Sebabnya, parti itu telah mengorbankan lambang yang menjadi perjuangannya selama ini. Di PRN Melaka ada calon Pas bertanding, tetapi tidak menggunakan lambang parti itu. Mereka menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN).
Perkara yang sama juga berlaku di PRN Johor. Pas sekali lagi bertanding menggunakan logo PN.
Tindakan mengetepikan lambang sendiri mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli parti itu.
Langkah berterusan bertanding dalam dua PRN tanpa lambang sendiri menyebabkan para penyokongnya gelisah dan tertanya-tanya mengenai masa depan parti itu.
Ada yang mendakwa keputusan itu dibuat oleh hanya segelintir pemimpin yang lebih cenderung kepada Bersatu.
Khabarnya, tidak semua pemimpin Pas setuju dengan keputusan itu.
Tetapi semua itu dilakukan demi solidaritinya bersama PN.
Dalam sejarah penubuhan sejak 1951, PRN Johor adalah kali ketiga mereka bertanding tanpa menggunakan lambang sendiri. Kali pertama hampir adalah tujuh dekad lalu iaitu pada pilihan raya 1955.
Sejak itu Pas tidak pernah gagal menggunakan logo sendiri dalam apa juga pilihan raya. Walaupun mereka pernah menyertai pelbagai gabungan, namun logo bulan tetap jadi keutamaan.
Sejak penubuhannya parti itu telah menyertai pelbagai pakatan dan gabungan politik. Antaranya Pakatan Rakyat, Barisan Alternatif dan Angkatan Perpaduan Ummah. Namun ia tidak pernah gagal menggunakan logo sendiri setiap kali bertanding dalam pilihan raya.
Menurut pengikut parti tersebut, bulan adalah identiti, keyakinan dan lambang perjuangan Pas.
Namakan pemimpin dan penceramah hebat dalam Pas seperti Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Noor, Bunyamin Yaakob, Yusof Raya dan lain-lain lagi. Mereka tidak pernah mengetepikan lambang Pas dalam apa juga pakatan atau gabungan yang mereka sertai.
“Pas ibarat sudah hilang dari muka bumi. Kalau lambangnya tidak digunakan ketika bertanding pada pilihan raya, apa bukti yang mengatakan parti ini wujud?” Demikian luah salah seorang penyokong tegar parti itu di Padang Terap yang mengakui dia lebih suka jika Pas kekal bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).
Malah, ramai dalam kalangan akar umbi Pas yakin kedudukan mereka lebih baik dan kuat jika bersama UMNO.
Akar umbi dan jentera UMNO jauh lebih kuat daripada Bersatu. Dan yang paling penting, jika bersama UMNO dalam MN, lambang parti mereka tidak akan menjadi korban.
Menurut penyokong Pas, tanpa menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya, parti itu berjuang tanpa identiti.
Lagi pula katanya, PN adalah pakatan yang baharu dibentuk. Pengundi lebih mengenali lambang Pas berbanding logo pakatan itu.
Sikap Pas sanggup mengorbankan lambangnya dalam dua PRN seolah-olah menunjukkan para pemimpin parti itu hilang keyakinan terhadap keupayaan diri sendiri. Sebab itu mereka mengorbankan lambang yang digunakan pakai sejak sekian lama.
“Pilihan raya tidak meriah tanpa bendera dan poster bulan. Malah kalau di Kedah memang cukup terkenal dengan bulan lawan kati (logo dacing Barisan Nasional) dalam setiap pilihan raya. Itu identiti dan lambang perjuangan dan keyakinan kami,” kata penyokong Pas itu.
Ada yang percaya, kegagalan menggunakan lambang sendiri itu merupakan antara punca Pas gagal menang sebarang kerusi pada PRN Melaka.
Keputusan PRN Melaka juga seperti memberi gambaran bahawa akar umbi Pas menolak kerjasama dengan Bersatu. Untuk ahli bawahan mereka melihat kerjasama dengan UMNO lebih menguntungkan.
Menurut penganalisis politik, perkara yang sama dijangka berulang di Johor pada 12 Mac ini. Walaupun Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berasal dari Johor dan pernah menerajui negeri itu, tetapi Bersatu tidak sekuat seperti di sangka.
Akar umbi Pas sedar perkara ini. Mereka melihat Pas seperti berada di blok yang kalah pada PRN Johor. Ketika menggunakan lambang sendiri pun Pas sukar untuk bertapak di Johor, apatah lagi tanpa lambang mereka.
Kehadiran Pas pada PRN Johor ibarat ada tidak menambahkan berat, kalau tiada tidak mengurangkan beban.
Rasa tidak puas hati penyokong Pas ekoran kegagalan parti itu bertanding menggunakan lambang mereka kemungkinan akan diterjemahkan atas kertas undi. Sama ada mereka akan boikot atau memberikan undi kepada calon UMNO/BN.
Apa pun bagi kalangan ahli Pas, tindakan pucuk pimpinannya tidak menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya adalah langkah ke belakang yang diibaratkan seperti mahu menguburkan parti itu.
Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia










