PETALING JAYA: Universiti di negara ini disaran memberi peluang kedua kepada 43,355 pelajar universiti awam dan swasta yang menangguhkan pengajian tahun lalu selain memperkenalkan waktu pembelajaran anjal.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Prof. Ir. Dr. Mohd. Rizal Arshad yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengakui, ramai pelajar tidak dapat meneruskan pengajian selepas negara dilanda pandemik Covid-19 kerana masalah kewangan dan masalah keluarga.
Beliau yang kini adalah Ketua Kumpulan Penyelidik Robotik Dasar Laut di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, semua universiti seharusnya memberikan tempoh yang lebih fleksibel kepada pelajar yang berniat menyambung semula pengajian mereka.
“Kebanyakan universiti sudah mula bergerak ke arah pembelajaran anjal dengan memberikan tempoh antara tiga ke lima tahun untuk menyambung pengajian.
“Namun, ada juga universiti yang hadkan dua tahun sahaja, kalau pelajar itu tidak sambung, mereka dianggap gagal. Sedangkan kalau beberapa universiti di luar negara, ada yang 10 tahun tangguh pun boleh sambung balik.
“Contohnya, jika satu-satu pengajian memerlukan 120 kredit untuk tempoh empat tahun, kalau ada 60 kredit dari pengajian tertangguh, jadi boleh sambung kumpul kredit itu,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang memaklumkan seramai 17,613 pelajar universiti awam tidak dapat meneruskan pengajian tahun lalu, manakala 5,165 pelajar menangguhkan pengajian mereka tanpa mengemukakan alasan tertentu.
Bagi pelajar di universiti swasta, beliau berkata, seramai 20,577 pelajar membuat keputusan untuk menangguhkan pengajian mereka.
Namun, kata Mohd. Rizal, pengajian yang fleksibel juga perlu mengambil kira silibus baharu.
“Universiti ini biasanya dalam empat ke lima tahun, silibus akan diubah dan ada penambahbaikan. Jadi, perkara ini perlu bersifat holistik dan komprehensif.
“Pendekatan yang fleksibel ini juga perlu melibatkan mobiliti mendatar, maknanya kalau tangguh di universiti lain boleh sambung di universiti lain. Jadi, universiti di Malaysia perlu mengadaptasi sistem fleksibel ini,” katanya. – UTUSAN










