JOHOR BAHRU: Masalah rakyat tidak perlu disusahkan dengan birokrasi, sebaliknya ia perlu diselesaikan dengan cara begitu mudah, kata Mohd. Fared Mohd. Khalid, calon Barisan Nasional (BN) N.17 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Katanya, beliau sebagai anak muda berpandangan, budaya lama yang menyukarkan rakyat mendapat bantuan harus diubah supaya masyarakat beroleh dapat manfaat dengan lebih mudah dan cepat, tambahan pula itu adalah hak mereka.
“Kami tidak suka fikir benda susah-susah, tetapi suka benda yang meriah. Jangan janji bukan-bukan, bagi penyelesaian yang mudah.
“Jangan tekan dengan sebarang birokrasi. Jangan bagi alasan yang buat mereka lemah. Jadikan wakil rakyat kawan mereka.
“Saya bagi contoh, masyarakat di sini mengadu, ada sebuah kawasan perkuburan, bila malam sahaja gelap. Tiada lampu, dah minta bantuan tapi tidak dapat-dapat. Jadi apa saya boleh buat ialah, untuk sekarang kita bagi lampu solar untuk mereka menggunakannya agar kawasan tersebut cerah pada waktu malam, jangan susahkan mereka,” katanya dalam program Sembang Politik pilihan Raya Negeri (PRN) Johor anjuran MMTV, hari ini.
Mohd. Fared akan berhadapan dengan persaingan lima penjuru pada Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Johor di kawasan berkenaan 12 Mac ini.
Empat lagi calon lain ialah Mahzir Ibrahim (Pejuang), Kamarulzaman Jidi (Putra), Mohd. Khuzzan Abu Bakar (PKR) dan Datuk Aris Shamsuddin (PN).
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mohd. Khuzzan menang dengan majoriti 98 undi menewaskan Mohd. Ismail Roslan (BN) dan Adnan Othman (Pas).
Dalam pada itu, Mohd. Fared turut berkata, dalam persaingan kali ini, ia memberikan kelebihan kepadanya apabila beliau antara calon muda yang dipertaruhkan di DUN Semerah.
“Saya sudah menang dari segi umur. BN menang sebab wakil lebih muda. Apa ada pada umur muda? Lebih cepat dan lincah. Saya sifatnya begitu.
“Saya juga orang kampung di sini. Kita boleh bersama main bola di sini dengan anak muda, bukan sekadar anjurkan. Kita nak tunjuk yang pemimpin boleh bersama dengan mereka. Betul kita semakin tua, tetapi pilihan raya kali ini, saya muda. Jadi saya kena puji diri sendiri sebab faktor umur saya,” katanya lagi.
Bekerjaya sebagai seorang peguam selama 18 tahun, Mohd. Fared berkata, sudah pasti beliau akan menjadikan pentadbiran DUN Semerah lebih bersih dan telus daripada sebarang rasuah. – UTUSAN











