SUNGAI PETANI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun cuba menghubungi ibu angkatnya dipercayai bagi meminta bantuan sebelum ditemukan rentung dalam kebakaran kilang getah sintetik di Kawasan Perindustrian Bakar Arang, di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, Misha Kasih Abdullah, 11, gagal menyelamatkan diri sebelum mayatnya yang rentung ditemukan di atas tilam dalam bilik tingkat atas bangunan pejabat kilang.
Ibu angkat mangsa, Norbaizura Abu Bakar, 33, berkata, Misha Kasih yang merupakan warga Indonesia menghubunginya beberapa kali kira-kira pukul 3 pagi.
“Saya tidak menyedari panggilan telefon itu kerana pada masa itu sedang nyenyak tidur.
“Mungkin dia cuba memaklumkan tentang kejadian dan mahu meminta tolong daripada saya, namun semuanya berakhir dengan kematiannya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Norbaizura adalah pekerja di kilang tersebut.
Menurutnya, mangsa sepatutnya bermalam di rumahnya di Taman Lembah Merbok, Merbok di sini, kelmarin.
“Mangsa bagaimanapun enggan pulang bersama selepas saya habis waktu bekerja kerana rumah mengalami gangguan bekalan air.
“Bilik di tingkat atas itu sememangnya bilik tetap mangsa jika dia tidak dapat menghabiskan masa bersama saya di rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Sayani Saidin berkata, mayat kanak-kanak itu ditemukan rentung selepas kerja pemadaman selesai dijalankan kira-kira sejam kemudian.
“Semasa kejadian terdapat lima ahli keluarga pemilik kilang dan dua pekerja lelaki bermalam di beberapa buah bilik kilang itu. Mereka dapat keluar menyelamatkan diri.
“Mangsa dipercayai terperangkap di dalam biliknya kerana tangga kayu yang menjadi satu-satunya jalan ke biliknya dipercayai terbakar,” katanya. – UTUSAN










