Manusia diciptakan Allah sebagai makhluk bersosial. Manusia memerlukan antara satu sama lain dalam memenuhi setiap keperluan hidupnya seperti makanan, tempat tinggal, kesihatan dan kebahagian.
Semua proses pemerolehan keperluan ini memerlukan manusia berinteraksi dan berkomunikasi dengan manusia yang lain. Keperluan ini mendidik manusia agar mereka menginsafi kekurangan diri, akur kepada tuntutan sunnatullah untuk bermasyarakat dan lebih dari itu mempunyai semangat memberi dan menerima.
Bagi yang mampu hulurkan khidmat atau sumbangan untuk membolehkan yang lain memerlukan, menerima khidmat dan sumbangan.
Keperluan manusia kepada manusia ini menyebabkan Islam menurunkan pelbagai panduan interaksi dan komunikasi bermula dengan hukum-hakam, adab dan etika serta prinsip dan tanggungjawab yang perlu diketahui dan dilaksanakan.
Islam meletakkan prinsip berinteraksi dengan manusia yang lain juga adalah sebahagian daripada ibadah. Aktiviti jual-beli sebagai contohnya, adalah amalan ibadah bagi memperoleh keperluan diri bagi si pembeli dan menyediakan keperluan orang lain bagi si penjual.
Ia perlu dilaksanakan menggunakan hukum-hakam, adab dan prinsip Islam sebagai jaminan untuk disenaraikan sebagai amal soleh yang diberikan ganjaran pahala. Cuba bayangkan betapa pemurah dan luasnya konsep ibadah dan amal soleh dalam agama Islam ini.
Keperluan manusia kepada manusia akan lebih dirasai apabila berlaku peristiwa yang mendesak, krisis atau ujian yang perlu dilalui oleh manusia. Dalam musim peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang, keperluan anak-anak kepada interaksi dan komunikasi dengan ibu bapa adalah lebih tinggi.
Ini tidak bermakna anak-anak tidak memerlukan ibu bapa di luar musim peperiksaan ini tetapi makna serta prinsip utama ialah anak-anak yang menghadapi peperiksaan lebih memerlukan kita dalam situasi getir seperti ini.
Ada ibu bapa mengambil cuti menemani anak melalui peperiksaan.
Ini adalah satu bentuk sokongan moral yang diperlukan oleh anak-anak. Bagi ibu bapa yang tidak berkesempatan untuk bercuti masih boleh memberi sokongan moral ini kepada anak-anak dengan meluangkan sedikit masa bersembang dengan anak untuk memberi kata-kata semangat.
MENDOAKAN ANAK
Ibu bapa boleh bercakap bersemuka secara terus dengan anak-anak yang menghadapi peperiksaan dengan menyampaikan harapan kepada anak-anak agar dapat melalui peperiksaan ini dalam keadaan yang tenang dan penuh reda.
Tidak perlu lama sebab kelak akan menjadi ‘ceramah’ motivasi pula. Sepuluh hingga 15 minit sudah memadai.
Detik dan memori tersebut akan terpahat kuat dalam episod hidup sang anak yang menampakkan bahawa ibu bapa sangat menghargai mereka.
Perjumpaan ini kadang-kadang menjadi tekanan kepada anak-anak yang menghadapi peperiksaan.
Ini apabila ibu bapa memberi harapan menggunung yang mustahil dicapai oleh anak-anak. Ibu bapa perlu realistik dan objektif dengan kemampuan anak-anak sendiri.
Yang paling penting, mereka adalah anak kita dan mewarisi sebahagian daripada rupa paras dan karakter diri kita sendiri.
Mereka mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri sebagai ciri manusiawi.
Kita lebih faham kerana kelebihan itu barangkali diwarisi dari kita dan jangan dilupakan pula kelemahan mereka juga barangkali warisan diri kita.
Jadi bersifat adillah. Kita tahu kelemahan yang ada pada kita dan diwarisi oleh anak kita, tidak sedap diungkapkan di kala ini. Harapan menggunung juga akan menyebabkan tekanan dan menghilangkan pati utama perjumpaan ini.
Bentuklah perjumpaan itu sebagai pertemuan ayah dan ibu dengan anaknya dengan perasaan kasih, rindu dan syukur seadanya seperti kita pernah sambut anak ini pada hari kelahirannya dahulu tanpa tekanan tetapi semua ceria dan penuh kesyukuran.
Sebutkanlah wahai para ibu bapa kelebihan anak-anak pada pandangan kita.
Kelebihan seperti kegigihan belajar perlu disebut, sikap anak yang suka membantu adik-adik juga boleh disebut, rasa bersyukur ibu bapa pada sikap anak yang prihatin kepada kesihatan ibu bapa perlu diungkapkan.
Nyatakanlah juga perkara-perkara positif sebab ia akan menyebabkan anak merasai bahawa mereka diperlukan dan dihargai.
Kelebihan dan sumbangan mereka tercatat dalam perhatian ibu bapa mereka.
Hindari menyentuh kekurangan kerana ia menimbulkan aura negatif dan jiwa anak akan terganggu.
Jangan sakiti jiwa mereka semasa mereka sedang menghadapi kesulitan. Kesulitan menyebabkan manusia memerlukan perhatian dan bantuan.
Keperluan bantuan ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: …dan hendaklah kamu bantu membantu dalam mengerjakan kebaikan dan ketakwaan dan jangan sekali-kali kamu membantu dalam dosa dan permusuhan. (al-Maidah: 2)
Anak-anak ini memerlukan ungkapan positif daripada kita. Ucapan “Along boleh buat”, “Angah dah usaha yang terbaik”, “Acik selalu tolong orang lain, insya-Allah Tuhan akan tolong Acik” dan“Ucu selalu berdoakan, Allah dengar semua yang Ucu doakan tu” akan menjadi bekalan azimat untuk mereka lebih bersemangat, keyakinan ibu bapa kepada mereka akan memberi kekuatan tambahan kepada mereka.
Keperluan penting anak-anak yang menjadi senjata utama menghadapi kesulitan dan ujian adalah doa dan reda ibu dan bapa.
Doa kita adalah senjata utama mereka. Luangkan sedikit masa sekitar lima minit untuk mendoakan anak kita.
Mohonlah daripada Allah kerana hanya Dia layak menerima sebarang permintaan seperti firman Allah bermaksud: Allah jua tempat meminta.. (al-Ikhlas: 2).
Berdoa sebagai sebenar-benar hamba-Nya yang amat daif seperti firman Allah yang bermaksud: Dan apabila bertanya hamba Kami tentang Kami, Maka katakan wahai Muhammad sesungguhnya Rahmat Aku dekat dengan mereka dengan Aku memakbulkan permintaan hamba(Ku) yang berdoa…(al-Baqarah: 186).
Berdoalah dengan penuh harapan seperti firman Allah yang bermaksud: Dan telah berkata Tuhan kamu, mintalah doa kepadaKu nescaya akan dimustajabkan doa itu bagi kami. (Ghafir: 60)
Bantulah, sokonglah dan doakanlah anak-anak yang sedang menghadapi peperiksaan kerana mereka adalah anak kita.
————
Prof. Madya Dr. Zawawi Ismail ialah Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya










