KULAI: Perikatan Nasional (PN) melaksanakan Aku Janji Integriti bagi mengelakkan 56 calonnya terlibat dalam penyelewengan seperti yang berlaku terhadap dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ikrar itu membuktikan komitmen tinggi PN dalam perjuangan membanteras rasuah dan mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan berintegriti.
Menurutnya, banyak kerosakan yang berlaku dalam negara apabila integriti tidak menjadi pegangan mereka yang diamanahkan untuk memimpin negara.
Katanya, jenayah rasuah dan pecah amanah berlaku dalam skala besar apabila pemimpin tidak berintegriti dan beramanah.
“Jenayah penyelewengan 1MDB dan SRC adalah antara contoh klasik bagaimana berbilion wang negara hilang begitu sahaja dan sebahagiannya masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib (Tun Razak).
“Di Parlimen semalam dia (Najib) kata itu bukan duit rakyat. Itu duit Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain. Dia lupakah yang 1MDB menerbitkan bon-bon yang dijamin oleh kerajaan.
“Apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB. Ini duit rakyatlah,” katanya dalam ucapan Majlis Ikrar Calon PN semalam.
Terdahulu, 56 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) gabungan itu melaksanakan ikrar Aku Janji dan tandatangan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Hotel Impiana, Senai di sini.
Muhyiddin berkata, banyak projek pembangunan yang boleh dibina, bantuan prihatin, biasiswa dan subsidi untuk golongan yang memerlukan dengan jumlah RM21 bilion itu.
Namun katanya, apabila pemimpin tidak berintegriti, tidak beramanah, maka puluhan billion wang negara hilang begitu sahaja dan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan.
“Najib juga kata gunalah duit yang dikutip semula daripada Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain untuk bayar hutang 1MDB. Inilah dia pemimpin yang bukan sahaja tidak amanah, tetapi tidak tahu malu.
“Yang pergi cari duit 1MDB yang disorok oleh Najib dan konco-konconya di luar negara itu ialah sebuah Pasukan Petugas Khas yang saya tubuhkan ketika saya menjadi Perdana Menteri.
“Saya arahkan mereka pergi ke luar negara berunding dengan pihak-pihak berkuasa beberapa buah negara untuk dapatkan kembali duit dan aset yang diseleweng serta masukkan semula ke akaun kerajaan Malaysia.
“RM20.5 bilion nilai keseluruhannya termasuk aset yang dirampas. Kalau Najib masih Perdana Menteri, dia soroklah duit itu dan takkan masuk semula ke akaun kerajaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada pengundi Johor supaya menjadikan pilihan raya negeri kali ini sebagai permulaan pembentukan sebuah kerajaan yang berasaskan nilai integriti dan prihatin rakyat seperti yang ditawarkan PN.
“Anda adalah benteng utama untuk menyekat kemaraan semula kumpulan kleptokrat dan politik lama mereka yang berasaskan rasuah dan penyelewengan,” jelasnya. – UTUSAN










