Nak naik pangkat kena ‘layan’ bos?

Nak naik pangkat kena ‘layan’ bos?

ADA kajian mendapati hanya 20 peratus kes gangguan seksual dilaporkan manakala 80 peratus lagi berlalu begitu sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN tempat awam, gangguan seksual juga boleh berlaku di tempat kerja dan pelakunya mungkin majikan atau ketua, rakan sekerja atau pelanggan organisasi. Menurut Kod Amalan Untuk Mencegah dan Membasmi Gangguan Seksual di Tempat Kerja 1999, gangguan seksual terbahagi kepada dua bentuk.

Pertama, pengenaan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaan atau istilahnya quid pro quo. Sebagai contoh, majikan berkata kepada pekerjanya, “kalau kamu hendak naik pangkat, bersedialah untuk melayan kemahuanku” dan kemahuannya itu berkait dengan seks.

Kedua, tingkah laku yang menimbulkan suasana tempat kerja tidak tenteram kepada mangsa khususnya tingkah laku seksual yang tidak diingini. Gangguan seksual bentuk kedua ini boleh berlaku secara lisan (usikan bersifat seksual), isyarat (yang membayangkan perlakuan seks), visual (menunjukkan bahan lucah), psikologi (mengulangi jemputan sosial yang telah ditolak) dan sentuhan fizikal (menepuk, mencubit, mengusap, menggesel dan seumpamanya).

Dalam satu kajian ke atas jururawat wanita di Melaka, didapati 51.2 peratus daripada mereka pernah mengalami gangguan seksual. Kajian dalam kalangan pekerja hospitaliti di Terengganu pula mendapati 53 peratus pernah melalui pengalaman serupa.

Walaupun lebih separuh warga kerja pernah menjadi mangsa gangguan seksual, namun sedikit sahaja yang melaporkan kejadian tersebut. Ada kajian mendapati hanya 20 peratus kes gangguan seksual dilaporkan manakala 80 peratus lagi berlalu begitu sahaja.

Selain rasa malu dan takut akan stigma sosial, mangsa tidak melaporkan kejadian tersebut kerana takut akan akibatnya seperti tidak mendapat kenaikan pangkat diharapkan, percaya laporan dibuat tidak akan ke mana-mana dan bimbang kehilangan pekerjaan. Pertimbangan untuk melapor atau tidak melaporkan kes gangguan seksual ini akan menjadi lebih sukar jika pelakunya merupakan ketua di pejabat.

Gangguan seksual meninggalkan tiga kesan utama kepada mangsa. Pertama, kesan psikologi, iaitu mangsa rasa kecewa, marah, takut dan malu. Kedua, kesan fisiologi yang berkait dengan kesihatan dan mangsa mungkin mengalami rasa pening, penurunan berat badan mendadak, gangguan tidur serta fobia. Akhirnya, kesan terhadap pekerjaan, mereka mungkin hilang tumpuan, produktiviti terjejas dan mungkin membuat keputusan untuk berhenti.

Dalam keadaan terdapat ramai mangsa gangguan seksual di tempat kerja dan mereka mengalami kesan negatif daripada kejadian itu sedangkan kejadian-kejadian ini tidak dilaporkan, maka menghindarinya adalah lebih baik berbanding usaha untuk menanganinya setelah ia berlaku. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat sentiasa menjadi pendekatan Islam.

Salah satu cara untuk mencegah gangguan seksual menurut Islam adalah dengan mengamalkan etika pergaulan antara lelaki dengan perempuan.

TAPAK TANGAN

Menurut Abu Syuqqah (1998), etika pergaulan yang dianjurkan Islam ini merangkumi empat perkara:

  • Serius dalam pertemuan.
  • Menahan pandangan (dan memelihara aurat).
  • Menghindari khalwat.
  • Menghindari pertemuan lama yang berulang-ulang.
  • Serius dalam pertemuan bermaksud apabila lelaki dan wanita bertemu untuk sesuatu urusan, mereka perlu berhubung secara serius. Etika ini berdasarkan kepada ayat al-Quran, surah al-Ahzab (33) ayat 32. Walaupun ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri Nabi, oleh sebab tujuannya baik, maka ia boleh dijadikan panduan oleh wanita biasa demi mengelak kejadian buruk terhadap diri mereka.

Etika kedua ialah menahan pandangan yang membawa maksud dalam pertemuan antara lelaki dengan wanita, mereka perlu menjaga pandangan agar tidak timbul niat tidak baik dan untuk mengelakkan fitnah. Etika ini berdasarkan ayat 30-31, surah an-Nur, Allah mengingatkan kaum lelaki dan wanita agar menyekat pandangan mereka daripada melihat yang haram dan menjaga kehormatan daripada melakukan zina. Bagi wanita pula ditambah arahan agar tidak mendedahkan tubuhnya kepada lelaki yang bukan mahram kecuali anggota tubuh yang zahir, iaitu bulatan muka dan kedua tapak tangan.

Etika ketiga ialah menghindari khalwat. Perkara ini berdasarkan kepada hadis riwayat Bukhari, iaitu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali disertai mahramnya.” Jadi, apabila lelaki dan wanita bertemu untuk sesuatu urusan, mereka hendaklah mengelakkan diri daripada berdua-duaan.

Etika keempat ialah menghindari pertemuan yang lama dan berulang-ulang. Etika ini perlu dijaga kerana dalam pertemuan seperti ini amat sukar untuk menahan pandangan, serius dalam berbicara atau bertingkah laku sopan. Sebaliknya, nilai-nilai malu dan kesopanan itu semakin menipis.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), etika pergaulan Islami perlu diamalkan bukan sahaja dalam hubungan bersemuka tetapi juga ketika berhubung melalui telefon dan di alam maya. Ada yang menganggap ‘usikan’ yang dilakukan kepada rakan sekerja sebagai satu gurauan tanpa menyedari ia satu gangguan seksual.

Adab bergurau dalam Islam merangkumi:

  • Tidak keterlaluan dan melebihi batasan.
  • Tidak menganiayai atau memburukkan orang lain.
  • Menjauhi dusta.

Dengan adab semurni ini, tiada ruang untuk gurauan lucah dan ‘gurauan menghina’ dalam masyarakat. Sehubungan itu, majikan perlu memainkan peranan untuk menghindari gangguan seksual di tempat kerja dengan meningkatkan kesedaran warga kerja tentang perkara ini, menganjurkan etika pergaulan Islami dan menyediakan mekanisme pengurusan gangguan seksual yang berkesan agar mangsa mendapat keadilan dan pemangsa dihukum.

Jika tidak, majikan dianggap gagal untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat sehingga maruah dan harga diri pekerja dengan mudah dicabuli oleh pekerja lain. – UTUSAN

PENULIS ialah Felow Kanan di Pusat Kajian Ekonomi & Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×