PETALING JAYA: Lebih 4,441 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sembilan buah negeri terpaksa menunda peperiksaan masing-masing ke bulan April selepas dijangkiti Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin selain ada ang disahkan sebagai kontak rapat.
Johor mencatatkan paling ramai iaitu 1,693 diikuti Kedah 903, Kelantan (723), Negeri Sembilan (543), Selangor (219) P. Pinang (137), Perlis (83 kes), Sarawak (72) dan Putrajaya 68 kes.
Mereka merupakan sebahagian daripada 407,097 calon yang menduduki ujian bertulis SPM 2021 di 3,382 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula semalam.
Kesemua calon terlibat diarahkan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Rozaini Ahmad, sebahagian daripada individu terlibat merupakan mereka yang disahkan menghidap Covid-19 manakala sebahagian lagi berstatus kontak rapat.
“Difahamkan kesemua mereka menjalani kuarantin di rumah dan dijadual mengambil peperiksaan itu pada April depan.
“Itu merupakan garis panduan yang perlu kita patuhi seperti ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh, Jitra di sini, semalam.
Sementara itu di Johor Bahru, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, calon SPM 2021 yang disahkan positif Covid-19 atau sedang berada dalam tempoh kuarantin dibenarkan untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada sidang kedua nanti.
Katanya, calon-calon berkenaan tidak perlu bimbang sebaliknya hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah dengan membuat surat deklarasi secara bertulis dan menyertakan dokumen berkaitan.
“Pemakluman itu boleh dilakukan oleh calon sendiri atau ahli keluarga mereka dan pengetua sekolah akan sahkan pelajar itu positif dengan menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera, selain ada tiga borang deklarasi dan surat bertulis,” katanya selepas meninjau perjalanan peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2.
Tambah Radzi, bagi calon yang baru diketahui positif ketika menduduki peperiksaan pula, mereka akan diletakkan di sebuah bilik khas yang disediakan di sekolah terbabit.
Sementara itu, beliau berkata, SPM 2021 berlangsung dalam skala lebih besar apabila ia dilaksana dengan menggunakan hampir semua kelas di sekolah.
“Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh, hampir semua kelas digunakan dan kita akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM ini berlangsung dengan teratur dan selamat.
“Bagi calon-calon di kawasan banjir seperti di Kelantan yang sekolah dan pusat peperiksaan ditutup dan tiada lokasi alternatif bersesuaian, mereka akan jawab kertas hari ini pada bulan April nanti,” jelasnya. – UTUSAN










