SUASANA di Persiaran Selangor pada 15 Februari lalu berdepan saat getir apabila sebuah kapal musuh dilihat mencerobohi perairan negara. Bagaimanapun, tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan kaedah ‘Visit, Board, Search and Seizure’ (VBSS) berjaya mengawal keadaan seterusnya menewaskan musuh.
Itu antara babak dalam demonstrasi perkasa yang ditunjukkan Maritim Malaysia untuk tindakan penggeledahan kapal di laut. Pasukan VBSS ini dilatih untuk menahan kapal musuh, melawan keganasan, rompakan di laut, kes pelanunan dan bermacam lagi.
Bagi demonstrasi itu, kaedah VBSS menggunakan Tim Geledah dari bot Maritim Malaysia secara pintasan. Selain itu, kaedah penyusupan masuk secara Fast Roping turut dipamerkan menggunakan helikopter oleh anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK).
Sepanjang penggeledahan dilakukan, sebuah helikopter turut dilihat berlegar di ruang udara dan digunakan sebagai Sniper Role bagi mengawasi keselamatan pasukan menggeledah.
Dalam demonstrasi terbabit, sebuah Bombardier CL 415 MP turut digunakan bagi membantu menjatuhkan air apabila kapal terbabit ‘terbakar’ akibat ‘letupan’ yang digunakan.
Kesemua detik mencemaskan itu dipamerkan pada sambutan Hari Ulang Tahun Ke-17 Maritim Malaysia yang diadakan baru-baru ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin diberikan penghormatan menyempurnakan tabik hormat bagi sambutan berkenaan. Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som.
Pada sambutan tersebut, Maritim Malaysia turut mempamerkan 10 kapal termasuk dua kapal pesisir luar pantai iaitu KM Arau dan KM Pekan, enam pesawat udara serta lapan bot.
Aset terbabit ialah KM Arau 8704, KM Pekan 9203, KM Bagan Datuk 4541, KM Tok Bali 4544, KM Lahad Datu 4546, KM Danga 3223, KM Redang 2953, KM Rawa 2951, KM Tenggol 2957 dan KM Nyalau 2213 dengan ada di antaranya berusia melebihi 30 tahun dan masih digunakan sehingga ke hari ini.
Turut dipamerkan Penggalang (FIB) 1601, Penggalang FIC 1810/1813, Petir 1283, Benteng 1201, Perkasa 1235, Benteng 1202, AW A139 Agusta, AS365 N3 Dauphin dan Bombardier CL 415 MP.
Suata penghargaan
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim, Mohd. Zawawi Abdullah ketika ditemui selepas menerima Anugerah Piala Laksamana berkata, cabaran sebagai pasukan yang menjaga negeri bersempadan dengan negara jiran ialah jenayah merentas sempadan seperti kes penyeludupan.
Bagaimanapun melalui kerja secara berpasukan, kita akan pastikan perairan negara kita tidak diceroboh oleh pihak luar,” ujarnya.
Juruterbang, Leftenan Komander Maritim Azizi Zalkepeli@Zulkifli yang bersama-sama kru AW 139 Agusta tidak menyangka akan menerima Anugerah Penghargaan Khas Winposh Rampart apabila dia bersama kru dari Stesen Udara Maritim Subang ditugaskan untuk membawa anggota PTK ke Terengganu pada 3 Januari lalu.
Antara anugerah lain yang disampaikan termasuk Piala Perkasa (Kapal Terbaik) yang diberikan kepada KM Tegas (Zon Maritim Tanjung Sedili, Maritim Johor) dan Piala Kesatria (Bot Terbaik) kepada Bot Petir 85 daripada Zon Maritim Batu Pahat, Johor.
Catat rampasan RM2.7 billion
Sepanjang 17 tahun penubuhan Maritim Malaysia, ia telah merekodkan hasil rampasan, lelongan, kompaun dan denda berjumlah RM2.7 billion meliputi penguatkuasaan terhadap bot nelayan asing, pendatang asing tanpa izin, penyeludupan dadah, rokok, ketum dan barangan kawalan yang lain.
Mohd. Zubil berkata, Maritim Malaysia turut mengkoordinasikan 2,428 operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang melibatkan 10,077 mangsa dan lebih RM650 juta nilai harta benda yang diselamatkan.
“Selain itu, beberapa operasi khas yang menjadi penanda aras Maritim Malaysia seperti Op Naga, Kuda Laut, Jangkar Haram serta Benteng telah merekodkan kejayaan yang membanggakan,” katanya.
Hamzah dalam ucapannya memberitahu, majlis sambutan itu sangat signifikan kerana ianya membuktikan kesiapsiagaan serta kekuatan aset-aset strategik Maritim Malaysia sama ada di darat atau di laut dalam mengawal dan melindungi kedaulatan samudera negara.
“Pemilihan perairan Selangor sebagai lokasi sambutan juga bersesuaian dengan fokus Kementerian Dalam Negeri bagi membanteras segala bentuk kegiatan jenayah rentas sempadan, termasuklah kegiatan jenayah pemerdagangan orang dan penyelundupan migran.
“Peranan dan sumbangan Maritim Malaysia dalam menentukan kedaulatan dan keselamatan samudera negara tidak dapat dinafikan lagi kerana operasi-operasi Op Naga, Op Kuda Laut dan Op Benteng telah diiktiraf berkesan menangkap dan menggagalkan aktiviti penyeludupan sepanjang tahun lepas,” ujarnya.











