Oleh Dr. Raja Jamilah Raja Yusof
Sejajar dengan perubahan terkini Masyarakat 5.0 berbanding Industri 4.0, orang ramai sepatutnya didahulukan berbanding teknologi.
Dalam usaha ke arah pembentukan Masyarakat Adicerdas, isu berkenaan penggunaan perisian komputer yang perlu diketengahkan ialah isu ujian penerimaan pengguna terhadap perisian tersebut.
Ujian ini dilaksana di peringkat terakhir setelah ujian unit, integrasi dan sistem oleh penguji perisian selepas perisian dibina dan sebelum ia diberikan kepada pengguna sasaran untuk digunakan secara meluas.
Ujian penerimaan ialah satu ujian yang dilaksanakan kepada pengguna sasaran untuk mengetahui jika perisian telah dibina dengan fungsi yang betul, seperti yang telah dipersetujui atau seperti yang telah dirancang.
Sebagai contoh jika telah dirancang untuk sesebuah perisian itu mempunyai fungsi menghantar mesej, maka ujian penerimaan pengguna akan menguji sama ada fungsi menghantar mesej telah dibina dengan betul untuk menghantar mesej.
Mengikut pendapat saya, proses ini selalunya ditinggalkan jika terdapat kekangan masa dan sumber yang mencukupi.
Ini berlaku jika pembina perisian menganggap mereka lebih mengetahui apa keperluan pengguna berbanding pengguna perisian itu sendiri.
Malah ada juga perisian media sosial yang sangat popular dalam kalangan penduduk di negara ini yang meninggalkan proses berkenaan. Ia diuji kepada pengguna dengan mendapatkan maklumbalas semasa ia digunakan, tanpa menjalani ujian penerimaan yang akhirnya mengakibatkan pelbagai kesulitan.
MELALUI KESULITAN
Mengapa perlu kita melalui pelbagai kesulitan, malah perkara yang boleh menggugat keselamatan semasa menggunakan perisian tersebut?
Perlu ditekankan bahawa, sesuatu fungsi perisian yang dibina dengan betul tidak bermakna perisian tersebut akan menepati ciri kebolehgunaan yang baik.
Sebagai contoh, tidak hanya pengguna dapat menghantar mesej dan mesej yang betul sampai kepada penerima yang dimaksudkan, tetapi proses menghantar juga seharusnya mudah.
Isu yang lebih penting bukanlah hanya fungsi menghantar mesej dengan tepat tetapi proses menghantarnya juga harus mudah.
Mungkin ramai maklum mengenai terma ‘mesra pengguna’, tetapi terma ini sebenarnya tidak mempunyai makna jelas. Terma lebih tepat ialah kebolehgunaan yang baik untuk sesuatu perisian.
Kebolehgunaan yang baik boleh dikaitkan dengan mencapai matlamat kebolehgunaan baik.
Jika diukur perisian komputer yang selalu kita gunakan, adakah ia mencapai kebolehgunaan ini? Contohnya, sistem perbankan internet yang ramai di antara kita gunakan setiap hari, adakah transaksi wang yang berlaku adalah selamat?
Kesemua persoalan ini berkait dengan hak pengguna komputer. Kebanyakan pengguna, rata-ratanya tidak mengetahui hak mereka. Perisian permainan komputer contohnya termasuk aplikasi permainan dalam talian di telefon bimbit, kebanyakannya tidak memenuhi matlamat kebolehgunaan keselamatan dan kebermanfaatan. Adakah selamat jika pengguna tua dan muda bermain dengannya? Berapa ramai kes ketagihan gajet yang telah berlaku?
Oleh itu perisian komputer seperti ini perlu diteliti dan diberi penilaian semula oleh pakar di dalam bidang kejuruteraan perisian, atau lebih spesifik lagi pakar interaksi komputer insani yang sekarang ini lebih dikenali sebagai pakar pengalaman pengguna (user experience atau UX).
Adalah penting setiap pengguna mengetahui hak mereka untuk menggunakan perisian komputer dan gajet dengan tenang dan selamat, di dalam perjalanan kita menuju ke arah pembentukan Masyarakat Adicerdas.
Kebolehgunaan baik:
Ia boleh dikaitkan dengan mencapai matlamat kebolehgunaan berikut:
* kecekapan
* keberkesanan
* kebermanfaatan
* keselamatan
* kebolehingatan
* kebolehbelajaran
——
Penulis ialah Pensyarah Kanan dalam bidang Interaksi Komputer Insani / (UI/UX), Jabatan Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Malaya (UM).











