Bersikap matang dan jujurlah

Bersikap matang dan jujurlah

aidiladha
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA ini, hampir semua pihak tertumpu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memandangkan keputusannya nanti dianggap begitu besar signifikan kepada perjalanan politik tanah air. Ramai pemerhati politik melihat keputusan PRN ini sebagai gambaran kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Lebih menarik, PRN ini merupakan pentas sulung bagi dua parti bongsu, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Malah, PRN ini juga menjadi titik mula bagi perjuangan Parti Warisan (Warisan) di luar Sabah.

Pejuang pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih untuk bergerak secara solo. Pejuang mungkin berkeyakinan mampu membentuk kerajaan negeri dengan pengaruh Dr. Mahathir sebagai wajah poster mereka. Parti Warisan yang dahulunya merupakan sebuah parti di Sabah, juga dikatakan akan bergerak solo.

MUDA pula mengambil langkah untuk bekerjasama secara strategik bersama Pakatan Harapan (PH). Namun, MUDA dilihat gagal bersatu hati dengan sebuah parti teras PH. Sekali melangkah ke dalam gelanggang, mereka bertelingkah dengan PKR, sebuah parti yang begitu senior. Ini menjadikan PRN ini lebih berwarna-warni apabila berlaku pergolakan di antara parti junior dan senior yang berada di bawah satu bumbung.

Bagi Perikatan Nasional (PN) pula, mereka berkeyakinan dapat membentuk kerajaan negeri berbekalkan prestasi mereka semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kerajaan Pusat dan sebagai Menteri Besar Johor dahulu. Di bawah payung PN, hanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu bertapak di Johor.

Kita menyaksikan pemimpin Pejuang dan Bersatu mengguna semula strategi mereka semasa bertanding di bawah payung PH dalam PRU14. Mereka menyerang Barisan Nasional (BN) dengan agresif khususnya kredibiliti pemimpin UMNO termasuk di peringkat Pusat.

Setakat ini BN belum melakukan banyak serangan berbanding parti lain. Mungkin diam-diam ubi berisi kerana nampaknya perhatian Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad lebih tertumpu kepada usaha mempersiapkan jentera BN Johor.

Walau apa pun, tempoh dua minggu berkempen bermula hari ini amat menarik untuk diperhatikan. Saya berharap semua yang terlibat mampu bersikap matang dan jujur serta mengikut tatacara bertanding di gelanggang. Semoga yang memenangi PRN ini dapat membawa masa hadapan yang stabil kepada Bangsa Johor dan tidak sekadar bertanam tebu di bibir mulut. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×