jaga anak yatim

Jaga dua cucu selagi ada hayat

BASHAH Bakar (belakang, kanan) dan Zamri Mat Nati bersama dua cucu yang mereka jaga, Muhammad Afiq Muhammad Anas dan adiknya, Nur Alya Adriana ketika ditemui di Bukit Gantang semalam. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: “Selagi ada hayat, kami akan jaga kedua-dua cucu yang yatim piatu.”

Demikian kata Bashah Bakar, 61, dan Zamri Mat Nati, ibu bapa kepada Siti Hafissah Zamri, 34, yang maut bersama suaminya, Muhammad Anas Awang, 34, dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 181, Lebuhraya Utara Selatan dekat Bagan Serai, Disember lalu.

Bashah berkata, selepas kematian anak perempuannya yang ketiga itu, dua cucunya, Muhammad Afiq Muhammad Anas, 9, dan adiknya, Nur Alya Adriana, 7, kini tinggal bersama mereka di Kampung Jelutong di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, dua cucunya itu tinggal bersamanya selepas perbincangan bersama ahli keluarga dan besan yang bersetuju dengan keputusan berkenaan.

“Kedua-dua mereka adalah pengubat rindu kami yang telah kehilangan anak dan menantu dalam sekelip mata,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Bashah mengakui masih terbayang senyuman dan lambaian terakhir anak kandungnya, Allahyarham Siti Hafissah yang membuat panggilan video di aplikasi WhatsApp, beberapa jam sebelum anaknya terkorban dalam kemalangan itu.

Katanya, Siti Hafissah adalah seorang anak yang baik dan paling rapat dengannya.

“Kehilangannya dalam sekelip mata membuatkan saya amat terasa namun saya reda atas ketentuan ilahi,” katanya.

Bashah turut menceritakan Siti Hafissah memberi wang RM500 kepadanya dan suaminya seminggu sebelum kemalangan itu.

Katanya, wang tersebut diberi ketika anaknya pulang ke kampung di sini.

“Saya masih ingat, dia beria-ria memberi duit kepada kami berdua hasil titik peluhnya semasa bekerja kilang dahulu iaitu wang yang dikeluarkan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” jelasnya.

“Dia kata duit KWSP itu dikeluarkan supaya dia dan kami berdua dapat merasa wang hasil titik peluhnya sebelum dia mati,” katanya.

Menurut Bashah, dia dan suami turut bersyukur kerana kedua-dua cucu mereka tidak mengalami trauma akibat kemalangan yang mengorbankan ibu bapa mereka.

Jelasnya, dua cucunya itu berada dalam keadaan baik.

“Sesekali mereka ada menyatakan rasa rindu mereka terhadap ibu bapa mereka. Sebagai opah dan tokwan, kami mengajar kedua -dua cucu kami untuk mendoakan kesejahteraan untuk ibu bapa mereka,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Afiq dan Nur Alya Adriana turut mengakui kadangkala mereka berdua rasa rindu kepada ibu bapa mereka.

Muhammad Afiq akan memasuki Tahun 3 manakala adiknya Tahun satu pada sesi pembukaan sekolah yang baharu nanti dan mereka bersekolah di Taiping bersama sepupu mereka.

Dalam kemalangan 12 Disember lalu, Siti Hafissah dan Muhammad Anas maut manakala dua anak mereka terselamat setelah kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan di Kilometer 181 Lebuhraya Utara -Selatan arah selatan dekat Bagan Serai.

Menurut polis, siasatan awal mendapati kemalangan pada kira-kira pukul 3.30 petang itu berlaku apabila kereta jenis Mazda RX8 yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri lebuh raya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini