tiada sijil bomba

Henti ubah suai besar-besaran jika tak ikut peraturan

Sejumlah 3,017 premis seluruh negara termasuk 75 hospital dan pusat rawatan bagaikan menjadi perangkap maut kerana tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Pengubahsuaian bangunan secara besar-besaran sehingga boleh menjadi permulaan tragedi perlu dihentikan segera bagi menjamin keselamatan setiap pihak.

Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF Malaysia), Tukiman Radion berkata, ketiadaan Sijil Perakuan Bomba (FC) adalah kesalahan ke atas pemilik premis.

Menurutnya, premis tersebut perlu diberi tempoh selama dua ke tiga bulan untuk mengubah kembali struktur pada bangunan terdahulu dan selamat untuk diduduki, jika tidak, boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tidak boleh mengubah struktur bangunan itu dengan secara keterlaluan, perlu ada kaedah jika mahu melakukan pengubahsuaian. Ia hanya boleh dilakukan secara minimum. Tuan punya perlu memastikan tiada ubah suai secara major.

“Saya percaya semua kriteria-kriteria yang diperlukan untuk sesebuah banggunan sudah dipatuhi oleh pihak pembina seperti paip bomba, bekalan air dan tandas. Semuanya sudah dibuat secara teliti dan mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya semasa dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, sejumlah 3,017 premis seluruh negara termasuk 75 hospital dan pusat rawatan bagaikan menjadi perangkap maut kerana tidak mempunyai FC.

Situasi itu berlaku selepas bangunan terlibat didapati melakukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi. Malah, ada antara premis yang menukar operasi sehingga menyebabkan struktur pembinaan tidak sesuai digunakan sekaligus boleh membahayakan penghuninya.

Dalam pada itu, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, FC amat penting bagi membuktikan premis berkenaan sudah menjalani pemeriksaan pihak bomba dan layak mendapatkan sijil tersebut.

Jelasnya, ia amat penting bagi mencegah apa-apa tragedi yang tidak diingini dan perkara tersebut tidak boleh diambil ringan memandangkan tahun-tahun sebelum ini terdapat pelbagai  laporan runtuh dan kebakaran terhadap bangunan-bangunan di dalam negara.

“Bagi menjamin keselamatan bangunan dan utamanya penduduk-penduduk di dalam premis perlu mengikut spesifikasi yang selamat serta ditentukan. Saya harap semua pihak pengurusan akan beri perhatian berat ke atas perkara ini,” ujarnya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini