Pastikan ramai anak muda menang

Pastikan ramai anak muda menang

WAN AHMAD FAYSHAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA hari lalu, saya melawat Johor. Tujuan membawa diri ke sana sudah tentu untuk turut serta dan melihat sendiri kempen setiap parti yang mengambil bahagian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Mac ini.

Menempuh perjalanan lebih tiga jam dari ibu kota ternyata berbaloi dan memuaskan hati. Sekalipun keletihan kerana kurang rehat, namun saya gembira dapat bertemu ramai pejuang politik dan beramah mesra dengan penduduk.

Apa yang saya perhatikan, ketika ini semua parti berhempas pulas menyalurkan mesej dan propaganda masing-masing kepada masyarakat dengan bermacam gaya dan strategi. Kali ini nampak lebih agresif, mungkin setiap parti mengambil pengajaran daripada PRN Melaka sebelum ini.

Antara program yang saya hadiri ialah pelancaran jentera Pemuda Perikatan Nasional (PN). Program bermula dengan konvoi motosikal dan kereta dari Tol Yong Peng Utara ke Taman Sri Wangsa, Parit Besar, Batu Pahat.

Selaku seorang yang pro kepada pemimpin dan ahli politik dalam kalangan orang muda, maka sudah tentulah saya teruja melihat kehadiran Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang digelar mat jargon disebabkan latar belakang pendidikan dan laras penggunaan bahasa dalam penulisannya kelihatan disenangi penduduk di kawasan perumahan tersebut.

ARMADA

Saya berpendapat, kita harus memberi peluang pada ahli politik muda berkongsi buah fikiran yang sememangnya lebih segar dan progresif.

Kalau Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sering dilihat mewakili anak muda di negara ini, maka mengapa tidak Wan Ahmad Fayshal?

Antara perkara yang saya tertarik dengan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini ialah beliau pernah menyeru agar PN dapat memilih sebanyak 30 peratus calon muda dalam meremajakan demokrasi di Malaysia. Ini merupakan satu cadangan yang sangat baik dan wajar dipertimbangkan bukan sahaja oleh PN bahkan semua parti di negara ini.

Seperti saya catatkan dalam artikel sebelum ini, anak-anak muda seharusnya turut serta dalam proses pembangunan negara menerusi jalan politik. Suka atau tidak, hanya politik bakal menentukan masa hadapan kita sama ada ke arah kejayaan atau kemusnahan.

Saya seorang pemuda yang patriotik, memperjuangkan isu-isu nasional menerusi penulisan dalam akhbar. Setiap daripada kita mempunyai tugasan dan peranan masing-masing. Anak-anak muda yang sedar akan hakikat ini harus berganding bahu, bekerjasama dan bantu-membantu dalam membawa negara ini ke arah lebih baik dan progresif.

Ayuh, kita pastikan lebih ramai anak muda menang pada pilihan raya kali ini! – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×