PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak kisah jika kalah termasuk hilang deposit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung 12 Mac ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, partinya berpegang kepada pendirian parti itu tetap menjadi alternatif kepada rakyat Johor memilih kerajaan negeri yang lebih baik.
“Kita tengoklah nanti apa hasilnya selepas pilihan raya nanti. Kita kena hormati dan imarahkan demokrasi negara. Kalah atau menang, tidak kisah, kita serah pada rakyat yang penting kita beri pilihan untuk rakyat Johor.
“Dalam keadaan politik sekarang, negara berada pada tahap lumpuh, orang luar sebut dengar cerita luar Barisan Nasional (BN) korupsi, Perikatan Nasional (PN) pengkhianat, Pakatan Harapan (PH) pula keliru, tidak lagi menjadi pembangkang sejak tandatangan perjanjian persefahaman (MoU),” katanya ketika dihubungi semalam.
Kegagalan calon memperoleh 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian di sesuatu kawasan menyebabkan calon hilang wang deposit. – UTUSAN











