PETALING JAYA: Walaupun pembeli rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dijanjikan pampasan dan moratorium jika berlaku projek ‘sakit’, tiada jaminan mereka akan mendapat rumah idaman dalam namun tempoh terdekat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Datuk Chang Kim Loong berkata, ramai pembeli yang menaruh kepercayaan terhadap PR1MA yang sebelum ini menyasarkan pembinaan 500,000 rumah dan dijual dengan harga berpatutan.
Namun, katanya, selepas hampir 10 tahun, sasaran itu tidak tercapai, malah terdapat 21 projek sakit yang menyebabkan ribuan masih menunggu kunci rumah.
“Apa yang berlaku amat mengecewakan. Sudahlah PR1MA ditubuhkan menerusi akta, aspirasi sebelum ini juga tidak tercapai, rumah juga belum dapat lagi.
“Sepatutnya, kerajaan dan kementerian yang terlibat menguatkuasakan undang-undang sedia ada bagi memastikan pembeli mendapat rumah idaman mereka,” katanya.
Kim Loong menyifatkan, pembeli sepatutnya dijanjikan tempoh yang lebih pendek, bukannya membiarkan projek terbengkalai begitu sahaja.
“Dahulu, pembeli rumah teres dijanjikan siap projek dalam tempoh 24 bulan, kondominium dalam 36 bulan. Sekarang, ia sudah dilanjutkan ke 48 bulan dan ke atas, seolah-olah tiada kepastian terhadap bila sebenarnya projek akan siap.
“Pembeli menderita, nak duduk rumah baharu tidak kesampaian. Yang baru kahwin tapi rumah belum siap. Habis, kalau yang nak kahwin dan nak beli rumah macam mana? Saya kasihankan mereka, tunggu punya tunggu rumah belum siap, ini mimpi ngeri yang berlarutan,” katanya. – UTUSAN











