PETALING JAYA: Kerajaan negeri perlu membantu membina lebih banyak rumah mampu milik dan bukannya hanya memikirkan keuntungan semata-mata dengan meletakkan harga yang tinggi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, jika semua sepakat, pihaknya percaya hasrat untuk melihat ramai rakyat negara ini memiliki rumah sendiri akan tercapai.
Bagaimanapun katanya, menyediakan rumah mampu milik dengan harga yang rendah itu bukanlah ‘tiket’ untuk mana-mana pemaju bawah kerajaan negeri menggunakan bahan binaan yang tidak berkualiti dan membuat kerja ‘asal siap’ sahaja.
“Kerajaan negeri juga boleh berbincang dengan kerajaan pusat untuk cari titik persamaan dalam hal ini. Mungkin ada mekanisme tertentu yang dapat membantu untuk bina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh negara dengan harga yang betul-betul boleh beli.
“Dengan kos bahan binaan sekarang, saya percaya ia mampu direalisasikan. Namun kena ingat, walaupun rumah mampu milik, pemaju kena guna barangan yang berkualiti dan jangan aniaya pengguna dan pembeli pula,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selain itu katanya, untuk membina rumah mampu milik, kedua-dua pihak perlu berbincang tentang lokasi dan sebagainya bagi membolehkan penilaian dalam soal harga itu dapat dibuat tanpa membebankan pengguna.
Dalam pada itu, Ahli Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta, Adzman Shah Mohd. Ariffin berharap, kerajaan negeri dapat memastikan semua rumah mampu milik yang dibina diletakkan pada harga yang benar-benar berpatutan.
“Orang ramai kalau boleh mahu harga yang tidak membebankan pendapatan isi rumah. Kalau pendapatan satu keluarga itu dalam RM8,000, dia boleh beli antara RM300,000 dan RM400,000 tetapi kalau pendapatan isi rumah satu keluarga hanya RM5,000, mereka hanya mampu menyewa.
“Kita juga perlu mengambil kira yang hilang kerja, yang bankrap, yang tak mampu bayar bank. Rumah mampu milik sebenarnya harga dah cukup berpatutan, tetapi mereka masih tidak dapat beli. Apa guna buat rumah kalau orang tidak dapat beli?” soalnya.
Senada, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, kerajaan negeri lebih sesuai memainkan peranan utama membina lebih banyak rumah mampu milik untuk kemudahan pembeli B40 dan M40 kerana urusan tanah di bawah mereka yang tentunya lebih tahu lokasi-lokasi sesuai dan strategik untuk membina rumah mampu milik.
Justeru itu jelas beliau setiap kerajaan negeri perlu memberikan keutamaan membina lebih banyak rumah mampu milik.
“Dalam soal rumah mampu milik ini, kerajaan negeri kena bantu dan disokong oleh kerajaan Pusat. Jika tidak, sampai bilapun isu tentang perumahan mampu milik ini tidak akan selesai.
“Yang akan banyak dibina selepas ini, bukan rumah mampu milik, tetapi mampu lihat yang mana ia dibina demi keuntungan semata-mata terutama oleh pihak swasta,” katanya. –UTUSAN











