KUALA TERENGGANU 25 Ogos – Pemeran Bergerak, LATerasi Kewangan anjuran Muzium dan Geleri Seni Bank Negara Malaysia (BNM) yang mula diperkenalkan pada 2015, kini diteruskan penganjurannya di Muzium Negeri Terengganu di sini mulai esok hingga 29 Februari tahun depan.
Pameran itu diadakan bagi mengenang semula Buku Wang Saku hasil usaha BNM dalam menyemai minat serta kepentingan menabung kalangan pelajar sekolah yang mula dicetuskan pada 1999 dengan 14 edisi dihasilkan.
Majlis pelancaran Pameran Bergerak LATerasi Kewangan di Muzium Negeri Terengganu itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini.
Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zainal Abidin Hussin; Penolong Gabenor BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya; Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Mohd. Azmi Ngah dan karikatur terkenal, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Datuk Lat.
Dalam pada itu, Abu Hassan menarik perhatian, pameran seumpama itu bermula di Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur pada 2015 dengan pengisiannya berupa pameran karikatur karya Datuk Lat yang diterbitkan dalam 14 siri Buku Wang Saku keluaran BNM dari 1999 hingga 2012.
Menurutnya, berdasarkan sambutan hangat, pameran itu telah dijadikan pameran bergerak merentas negara iaitu di Muzium Padi, Kedah dan Muzium Pulau Pinang pada 2016 serta Muzium Darul Ridzuan, Perak pada tahun lalu.
“Hari ini kita bawakan kompilasi karikatur Buku Wang Saku ini ke Terengganu pula sebagai lokasi Pameran LATerasi Kewangan yang berlangsung di Muzium Negeri Terengganu,” katanya dalam majlis itu.
Beliau berkata, BNM terharu dan menghargai kerjasama serta komitmen padu daripada Datuk Lat yang menterjemahkan topik sukar untuk mudah difahami golongan pelajar menerusi karikatur yang dihasilkannya.
Menurutnya, sejak 1999, kira-kira 5.5 juta salinan Buku Wang Saku diedarkan kepada lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara sebagai pendedahan kepada para pelajar mengenai hal ehwal kewangan. – UTUSAN ONLINE











