PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga barangan di peringkat pengeluar mencatatkan peningkatan 10.7 peratus pada Ogos 2026 berbanding 9.7 peratus yang direkodkan pada Julai lalu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, lonjakan bagi suku tahun berkenaan dipacu terutamanya oleh sektor perlombongan yang mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 41.2 peratus berbanding 30.5 peratus pada bulan sebelumnya.
“Prestasi tinggi sektor perlombongan didorong oleh pengekstrakan petroleum mentah yang meningkat 49.8 peratus, manakala pengekstrakan gas asli turut mencatatkan kenaikan 14.7 peratus.
“Sektor pembuatan pula mencatatkan peningkatan 8.8 peratus berbanding 8.2 peratus pada Julai, disumbangkan terutamanya oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis sebanyak 33.5 peratus serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal pada kadar 12.4 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Menurut DOSM, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan pula meningkat 4.6 peratus, menyederhana berbanding peningkatan 7.2 peratus pada Julai 2026, dengan pengeluaran ternakan merekodkan pertumbuhan 13.9 peratus.
Sektor utiliti turut kekal dalam trend meningkat menyaksikan bekalan air serta bekalan elektrik dan gas masing-masing naik 7.8 peratus dan 6.4 peratus.
Bagi perbandingan asas bulan ke bulan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.0 peratus pada Ogos 2026 berbanding 0.7 peratus pada Julai, disokong terutamanya oleh sektor perlombongan yang melonjak 6.7 peratus hasil pertumbuhan pengekstrakan gas asli (8.9 peratus) dan pengekstrakan petroleum mentah (6.1 peratus).
“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan bagi asas bulanan meningkat 0.8 peratus didorong oleh pengeluaran ternakan sebanyak 1.9 peratus. Sektor pembuatan pula naik pada kadar lebih sederhana iaitu 0.4 peratus, disumbangkan oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (1.7 peratus) serta pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (1.3 peratus).
“Mengikut peringkat pemprosesan, ketiga-tiga peringkat IHPR pengeluaran tempatan menunjukkan peningkatan tahun ke tahun pada Ogos 2026. Indeks bahan mentah untuk pemprosesan selanjutnya naik 24.8 peratus didorong oleh bahan bukan makanan sebanyak 28.5 peratus.
“Indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen pula meningkat 9.6 peratus disokong oleh bahan api yang diproses dan pelincir pada 20.0 peratus, manakala indeks barang siap naik 3.1 peratus dipacu oleh kelengkapan modal sebanyak 4.3 peratus,” katanya.
Bagi asas bulan ke bulan mengikut peringkat pemprosesan, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 2.3 peratus, diikuti indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen (0.9 peratus) serta indeks barang siap (0.1 peratus).
Mengulas perbandingan antarabangsa, DOSM berkata, harga pengeluar kekal tinggi di beberapa ekonomi terpilih walaupun trend pergerakannya berbeza.
“Taiwan merekodkan peningkatan tertinggi pada kadar 16.8 peratus didorong oleh harga semikonduktor yang lebih tinggi, diikuti Thailand (9.1 peratus), Jepun (7.6 peratus), Amerika Syarikat (5.4 peratus) dan China (3.8 peratus).
“Perkembangan ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh harga minyak mentah global yang kekal tinggi pada paras purata AS$90.90 setong pada Ogos 2026 berbanding AS$83.40 setong pada Julai akibat ketidaktentuan geopolitik berterusan serta permintaan tenaga global yang berdaya tahan.
“Pada masa sama, harga minyak sawit mentah (MSM) tempatan bertahan relatif tinggi pada RM4,548.50 setan disokong permintaan sektor biodiesel, manakala harga getah asli kekal kukuh berikutan kebimbangan terhadap potensi gangguan bekalan berkaitan faktor cuaca,” katanya. – UTUSAN











