FENOMENA rock kapak meninggalkan kesan yang sangat besar kepada industri muzik tanah air.
Gelombangnya begitu kuat sehingga suatu ketika, Anugerah Juara Lagu (AJL) yang menjadi penanda aras muzik popular Malaysia dikuasai sepenuhnya oleh lagu-lagu rock.
Oleh itu, keputusan Simposium Muzik Ipoh (IMS) menjadikan rock kapak sebagai temanya tahun ini adalah keputusan yang tepat selepas memilih muzik independen sebagai tema sulung tahun lalu.
IMS yang dianjurkan People Of Remarkable Talent (PORT) Ipoh itu berlangsung selama tiga hari, bermula 9 hingga 11 Oktober lalu.
Berlangsung di PORT Ipoh, acara tahun ini terpaksa dijalankan secara dalam talian akibat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih berkuat kuasa di seluruh negara.
Isi utama IMS adalah pembentangan kertas kerja mengikut tema yang diberikan. Tahun ini, sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan selain ucaptama oleh Prof. Dr. Wan Zawawi Ibrahim.

Pembentangan kertas kerja tahun ini rata-ratanya menarik kerana mencakupi pelbagai bidang yang terkait dengan fenomena rock kapak.
Sebagai contoh, Dr. Norman Yusoff dan Daniyal Kadir membawa perspektif rock melalui filem; Prof. Madya Dr. Takiyuddin Ismail membuka cerita tentang peranan media dalam perkembangan rock serta perspektif yang lebih teknikal dibawa oleh Dr. Raja Iskandar Raja Halid dan Hafifi Mokhtar.
Terdapat juga topik yang lebih rencam dan unik, seperti pembentangan Rosli Ibrahim tentang aspek kerohanian dalam lirik lagu rock; Ahmad Shaufiq dan Meor Yusof Aziddin dengan perbincangan pengaruh rock terhadap masyarakat; rock dalam kalangan orang asli oleh Shazni Bahai; cetak rompak oleh Nasir Jani; program TV berkaitan rock oleh Helmy Had dan Lan Gamma serta kejatuhan rock kapak oleh Dr. Ibrisam Akbar.
Secara keseluruhannya, pembentangan-pembentangan itu menghuraikan perkembangan rock kapak dalam tiga naratif, iaitu pensejarahan, kandungan dan kejatuhan.
Dari segi pensejarahan, kebanyakan panelis bersetuju nama kugiran seperti Sweet Charity dan Godbless dari Indonesia sebagai antara perintis fenomena rock di Malaysia. Seperti yang dikongsikan Meor Yusof, pertandingan Battle Of The Band pula menjadi pemangkin untuk rock lebih berkembang dan popular sehingga membentuk fenomena.
Shazni Bahai juga membawa kisah rock dalam kalangan Orang Asli dalam aspek pensejarahan.

Melalui kajian yang dilakukannya, didapati kugiran rock pertama dalam kalangan orang asli sudah tertubuh sejak 1974 lagi, iaitu The Honesty yang terdiri daripada etnik Mah Meri di Gombak, Selangor.
Dari sudut kandungan, Raja Iskandar berjaya merungkai formula pembikinan lagu popular pada era rock kapak. Beliau menggunakan AJL sebagai penanda aras untuk mengenal pasti lagu-lagu rock yang popular dan dapatannya menunjukkan kebanyakan lagu itu disusun dalam key minor dan bergenre balada rock dengan beberapa pergerakan kord yang hampir sama.
Dari segi lirik pula, Rosli Ibrahim mengupas aspek kerohanian dalam lirik-lirik lagu rock yang ketika itu dikuasai penulis lirik seperti Allahyarham Loloq, S. Amin Shahab dan M. Nasir.
Perbincangan turut melibatkan elemen-elemen yang merosakkan rock kapak itu sendiri sehingga membawa kepada kejatuhannya pada pertengahan dan penghujung 1990-an.
Antara yang paling kuat dikritik adalah kebergantungan kepada beberapa komposer dan penulis lirik yang sama. Kata Dr. Ibrisam, kugiran rock kapak telah dijatidirikan oleh komposer upahan.
Keutamaan yang melampau terhadap lagu balada rock juga menjadikan rock kapak semakin hilang identiti kerana terlalu mengikut kehendak pasaran.
Ahmad Shaufiq menandakan kejatuhan rock kapak dengan kemunculan sebegitu banyak kugiran yang bermula dengan huruf ‘S’ yang bermain lagu cinta leleh. Meor Yusof menandakan ia dengan dominasi Saari Amri sebagai komposer.
Satu faktor yang tidak boleh dipandang ringan juga adalah lanun cetak rompak yang berleluasa.
Pengaruh rock berjaya mengurangkan dominasi cetak rompak melalui penghasilan lagu dan penganjuran konsert bertemakan perang terhadap cetak rompak namun ia tidak bertahan lama.
Secara kesimpulannya, IMS dengan tema rock kapak tahun ini berjaya membuka lembaran baharu dalam naratif rock kapak.
Boleh dikatakan, kajian-kajian yang dibuat masih terlalu umum dan bersifat pemula. Ia mungkin juga kehendak penganjur yang tidak mahu perbincangan berlangsung terlalu berat dan masih boleh diterima khalayak yang ramai.
Yang pasti, apa yang dilakukan dalam IMS tahun ini sepatutnya memberi kesedaran dan menjadi pembuka jalan untuk lebih banyak lagi kajian ilmiah tentang fenomena muzik dijalankan.
Pembentangan dalam IMS telah membuktikan, muzik mempunyai impak yang besar kepada perkembangan sosiobudaya negara. – MINGGUAN MALAYSIA










