Hidup mesti ada sasaran - Utusan Malaysia

Hidup mesti ada sasaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kedudukan sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam bidang perbankan, Munirah Khairuddin sama seperti mana-mana pengejar mimpi lain, melalui perjalanan hidup tentunya tidak mudah.

Bermula dari bawah, Munirah begitu menghargai setiap satu pengalaman diraih kerana sedar untuk mencipta sesuatu kejayaan, usah terlalu banyak mengeluh atau terlalu berkira-kira dengan nasib.

Cukup erat memegang nasihat bapanya, Khairuddin Mohamad bahawa usia muda harus diisi dengan seberapa banyak ilmu dan usaha keras, agar tidak timbul penyesalan di kemudian hari.

“Kata ayah, timbalah seberapa banyak ilmu dan pengalaman. Paling penting jangan terlalu memilih.

“Kata-kata itu kemudiannya saya jadikan falsafah hidup di mana setiap peluang diberikan, ambil dan lakukan dengan terbaik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menjelaskan lanjut nasihat ayahnya itu, Munirah berkata, tidak kira dari segi kerjaya atau peribadi, ayahnya turut menasihatkan dirinya untuk cuba pastikan diri berupaya menjadi seorang pengurus dan pastikan merangkul jawatan pemimpin pada usia 40-an.

“Saya berpegang dengan nasihat itu dan alhamdulillah, mungkin ia juga adalah berkat doa ayah,” katanya.

Di awal kerjaya, Munirah berusaha memastikan dirinya meraih seberapa banyak ilmu dan selok-belok sektor pelaburan. Bukan untuk pujian orang, tetapi demi cinta dan minatnya dalam bidang berkenaan.

“Saya bersikap proaktif dan mengambil inisiatif memulakan sesuatu tugas tanpa disuruh. Saya tak mahu mengharap balasan atau ganjaran gaji tinggi kerana tujuan saya semata-mata untuk belajar dan membuktikan pada diri sendiri, saya boleh melakukannya.

“Kalau ada kesilapan, saya akan mengambil iktibar dan belajar daripada kesilapan itu,” katanya.

Tidak memilih kerja

Masih segar dalam ingatannya, bagaimana sukar untuk mencari pekerjaan selepas pulang dengan segulung ijazah dari luar negara, sehingga beliau tekad melakukan apa sahaja pekerjaan asal menjadi sumber pendapatan.

Pada 1997 ketika itu Malaysia sedang berdepan dengan krisis ekonomi, krisis ekonomi asia, menyebabkan dia sedar sikap memilih tidak akan membawanya kemana-mana.

“Apa sahaja kerja saya buat. Daripada menjadi penulis korporat untuk Petronas, menulis ucapan dan rencana serta menjadi juru acara. Pendek kata apa sahaja peluang yang ada saya ambil.

“Kemudian saya bertukar jabatan ke Petronas Carigali sebelum seterusnya ke Group Treasury. Jujurnya saya sangat berterima kasih dengan Petronas kerana memberi peluang saya menimba pengalaman sebagai pengurus dana untuk Pengurusan Aset Rothschild dan Royal Bank of Scotland, sebuah syarikat pelaburan global tersohor di London,” katanya.

 

KELUARGA tetap menjadi keutamaan Munirah walaupun kerjaya berada di puncak.

Setelah beberapa tahun bekerja di London, Munirah membuat keputusan pulang ke tanah air untuk berkahwin dan meluangkan masa bersama keluarga meskipun katanya, dia menerima beberapa tawaran di London dan Asia.

Kembali berbakti dengan Petronas, Munirah berkata, tidak lama kemudian dirinya berhijrah ke syarikat Pengurusan Aset Principal-CIMB dan bersyukur diberi peluang menjadi Ketua Jabatan Pelaburan Institusi dan Korporat sebelum kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif pada usia 32 tahun.

“Menggalas tugas ini, saya perlu pastikan setiap pelaburan dilakukan pelanggan, sama ada individu atau korporat mampu menghasilkan prestasi yang konsisten dan stabil, di samping pengurusan risiko pelaburan yang baik.

“Saya percaya, tanggungjawab terhadap masyarakat juga penting terutama dalam perkongsian ilmu pengetahuan asas kewangan. Masyarakat perlu memahami beza antara wang simpanan dan pelaburan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×