KUALA LUMPUR 8 Ogos – Peningkatan mendadak aktiviti penyeludupan rokok yang tidak terkawal di negara ini berpunca daripada kenaikan mengejut sebanyak 40 peratus cukai eksais rokok pada penghujung 2015.
Data itu didedahkan oleh Laporan Ekonomi Oxford bagi produk British American Tobacco (BAT) pada Jun lalu yang menyebabkan kegiatan merokok di seluruh negara meningkat sebanyak lima peratus sedangkan jualan rokok sah turun sehingga 32 peratus.
“Akibatnya Malaysia kehilangan pendapatan sebanyak RM5 bilion pada tahun lalu ekoran masalah perdagangan rokok seludup tersebut.
“Kerugian sebanyak RM0.3 bilion dicatatkan daripada cukai jualan tidak berbayar manakala sebanyak RM4.8 bilion berpunca daripada duti eksais tidak berbayar yang menjadikan keseluruhannya sebanyak RM5.1 bilion jumlah cukai dielakkan,” menurut laporan data itu di sini .
Utusan Malaysia hari ini melaporkan negara kehilangan pendapatan kira-kira RM6 bilion setahun ekoran masalah rokok seludup dan ketiadaan undang-undang yang jelas bagi mengawal selia industri rokok elektronik atau vape.
Data itu dibentangkan oleh sebuah syarikat pengeluar produk tembakau, JTI International Berhad (JTI) melalui kajian kes dilakukan The Nielsen Company Sdn. Bhd. (The Nielsen).
Dalam pada itu, laporan Ekonomi Oxford turut memaklumkan penyeludupan rokok menjadi punca kepada penutupan dua kilang rokok utama di negara ini pada 2013 yang berupaya menawarkan sebanyak 5,750 jumlah pekerjaan bersamaan lebih 14 peratus kadar pekerjaan di Putrajaya.











