KUALA LUMPUR 4 Ogos – Seorang anggota polis berpangkat Koperal ditahan selepas melepaskan tembakan dipercayai dalam keadaan mabuk di sebuah kelab malam di Jalan Tun Razak di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi, suspek yang dikatakan bertugas di Balai Polis Jinjang di sini baru sahaja selesai bertugas sebelum datang ke kelab terbabit bersama lima orang rakannya terdiri empat wanita dan seorang lelaki.
Menurut sumber, suspek dikatakan membawa sepucuk pistol bersamanya ketika datang ke kelab tersebut.
“Sebaik sahaja selesai berhibur, suspek kemudiannya telah keluar dari kelab malam terbabit sebelum dia melihat pergaduhan di antara rakan wanitanya dengan beberapa orang yang tidak dikenali.
“Suspek kemudiannya dikatakan melepaskan tembakan ke arah udara bagi meleraikan pergaduhan tersebut selepas berlaku kekecohan di antara lebih kurang 20 individu di hadapan kelab itu,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sumber memberitahu, sebaik sahaja suspek melepaskan tembakan, kesemua mereka yang terlibat telah berlari bertempiaran dan menyebabkan pengawal keselamatan di kelab malam terbabit datang membantu mengawal keadaan.
Jelasnya, susulan itu, senjata api tersebut telah dirampas oleh pihak keselamatan kelab tersebut sebelum suspek diserahkan kepada pihak polis.
“Kelongsong peluru telah ditemukan oleh pengawal keselamatan kelab sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan tembakan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Katanya, suspek tersebut telah direman selama dua hari bagi siasatan lanjut.-UTUSAN ONLINE











