Lapan remaja ditahan beraksi wheelie dan superman - Utusan Malaysia

Lapan remaja ditahan beraksi wheelie dan superman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Dua remaja sekolah antara lapan mat rempit yang ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya dengan mempamerkan aksi ‘wheelie’ dan ‘superman’ dalam Op Samseng Jalanan di dua lokasi di sini yang berakhir hari ini.

Operasi yang dijalankan bermula semalam oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dilakukan di Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) itu menahan remaja berusia 15 hingga 21 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, dalam operasi selama dua hari itu, lapan remaja terbabit ditahan kerana menunggang secara berbahaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Operasi hari pertama di Dataran Merdeka bermula 1 pagi, lima suspek lelaki berusia 15 hingga 19 tahun ditahan kerana mempamerkan aksi berbahaya.

“Semakan mendapati, dua remaja terbabit masih bersekolah, manakala tiga lagi bekerja di sektor swasta,” katanya di sini hari ini.

Susulan itu, dalam operasi kedua di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) bermula pukul 1 pagi tadi, tiga remaja berusia 18 hingga 21 tahun yang telah tamat persekolahan berjaya ditahan selepas melakukan aksi yang sama.

Mengulas lanjut, Zulkefly memberitahu, individu yang ditahan juga didapati turut melakukan pengubahsuaian kepada motosikal seperti ekzos, menggunakan tayar kecil, tiada nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi.

“Semua individu yang ditahan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Tun HS Lee untuk proses dokumentasi,” ujarnya.

Tambanya, kesemua remaja berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini