Amanah nafi terima dana DAP - Utusan Malaysia

Amanah nafi terima dana DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 4 Ogos – Bendahari Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Asmuni Awi menempelak tuduhan bahawa punca kewangan parti tersebut dibiayai oleh DAP.

Beliau yang juga Pengerusi Amanah negeri Perak malah menyifatkan ia sebagai berniat jahat bertujuan memburukkan imej parti itu pada masyarakat.

Tegas beliau, dakwaan yang dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu juga sebagai tidak berasas dan semberono.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya berpegang kepada prinsip apabila melemparkan tuduhan mestilah disertakan dengan bukti dan bukan cakap sahaja.

“Zahid yang telah berkawan dengan Pas sepatutnya mesti tahu (hukum). Dia tidak boleh sesuka hati tuduh tanpa bukti, paling tidak ada bukti-bukti prima facie,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Pemuda Amanah Negeri Perak Kali Ke-3 di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pemuda Amanah negeri, Hasnul Zulkarnain Abd. Munaim.

Pada Ahad lepas, Ahmad Zahid ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di sini mencabar Presiden Amanah, Mohamad Sabu untuk menafikan bahawa punca kewangan parti tersebut sebenarnya adalah dibiayai oleh DAP.

Kata beliau, penafian itu perlu dilakukan bagi menepis dakwaan tentang pembabitan DAP pada awal penubuhan Amanah.

Mengulas lanjut kata Asmuni, tuduhan tanpa bukti juga boleh dilakukan oleh pihaknya jika ingin menuduh UMNO menerima dana haram dan kemudian meminta dikemukakan bukti untuk penafian.

Sementara itu dalam ucapannya, Asmuni mengingatkan para perwakilan agar tidak leka serta memandang rendah terhadap gabungan UMNO-Pas yang boleh memberikan cabaran pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Jika dilihat atas kertas gabungan UMNO-Pas memang boleh menumbangkan beberapa kerusi kita tetapi keadaan sebenar hanya diketahui pada pilihan raya.

“Jadi, kita kena bersedia dari sekarang dan jangan berlengah merangka strategi yang terbaik untuk berhadapan pihak lawan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini