JERANTUT 4 Ogos – Hanya 42 peratus daripada keseluruhan 5.85 juta hektar tanah tanaman kelapa sawit di negara ini telah mendapat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sehingga 30 Jun lalu.
Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, pensijilan MSPO yang melibatkan hanya 2.45 juta hektar tanah itu masih agak jauh bagi mencapai sasaran 100 peratus pencapaian MSPO menjelang penghujung tahun ini.
“Daripada jumlah itu, Pahang merekodkan jumlah yang rendah dengan hanya merekodkan 36 peratus jumlah kawasan tanaman sawit yang dipersijilkan MSPO dan sebab itu saya datang jelajah ke Jerantut hari ini.
“Bagi negeri yang mempunyai kawasan penanaman sawit yang luas seperti Sarawak, setakat ini merekodkan 42 peratus manakala di Sabah mencatatkan 46 peratus yang dipersijilkan,” katanya pada Majlis Taklimat MSPO Penanam Sawit Pahang di Dewan Majlis Perbandaran Jerantut di sini hari ini.
MenurutTeresa, pensijilan MSPO amat penting dalam memastikan pasaran sawit negara dapat diterima dan dijual di luar negara.
Justeru beliau berharap pengusaha penanaman kelapa sawit dan pekebun kecil sawit dapat segera mendaftar pensijilan MSPO yang ditawarkan kerajaan dengan pelbagai insentif seperti proses audit percuma pada masa ini. – UTUSAN ONLINE











