KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kira – kira 1,500 penduduk di Blok B Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil dekat sini terpaksa hidup menderita apabila bekalan air di kediaman mereka sering terputus sejak lebih sebulan lalu dan kini masalah menjadi semakin kritikal.
Wakil penduduk, Mumtaz Abdul Rahman, 46, berkata, masalah yang dipercayai berpunca daripada kegagalan fungsi pam di blok berkenaan itu menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan bekalan air bomba sedangkan sumber air berkenaan perlu disimpan untuk kegunaan pada waktu kecemasan.
Katanya, masalah berkenaan sudah dilaporkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menguruskan PPR berkenaan namun tiada tindakan susulan dilakukan.
“Kami sudah jemu membuat aduan kepada DBKL kerana sehingga kini masalah ini tidak pernah diselesaikan. Mereka seolah-olah berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan.
“Oleh itu, penduduk berharap pihak berkuasa tempatan prihatin dan dapat membantu kami. Jangan lepas tangan dengan kesusahan yang dihadapi kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











