PASIR GUDANG 4 Ogos – Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam Sekitar (BBPIPAS) menuntut lima perkara daripada pihak berwajib dalam usaha mencegah dan menangani pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada kilang-kilang di daerah ini.
Timbalan Pengerusi BBPIPAS, Mohd. Rafee Abdullah berkata, pertamanya perlu mewujudkan persekitaran lestari dengan mempercepat penubuhan Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Pasir Gudang dan mewujudkan akta baharu yang lebih tegas terhadap pihak mencemar alam sekitar.
Selain itu katanya, meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap operasi kilang-kilang, menutup operasi kilang serta-merta sekiranya disyaki membuat kesalahan serta menaikkan cukai kilang-kilang kimia bagi menampung kos yang diperlukan organisasi seperti sekolah supaya lebih berupaya menangani masalah pencemaran kimia.
“Begitu juga memberikan prioriti terhadap sebutan kes pencemaran alam sekitar supaya penalti yang tinggi dapat dikenakan dan seterusnya dapat disalurkan kepada pihak yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mohd. Rafee berkata, perkara kedua yang harus dilakukan adalah memberikan bantuan kepada organisasi terlibat misalnya menyediakan kelas bertutup di aras tiga dan aras 4 di sekolah-sekolah, menyediakan penapis udara dan penapis air di kelas-kelas terbuka.
Bagitu juga katanya, menyediakan penutup mulut dan hidung jenis R95 untuk digunakan sekiranya disyaki ada pencemaran kimia selain menyediakan alat pengesan gas berbahaya kepada semua sekolah yang terlibat secara tetap.
“Ini termasuk menyediakan alat penguji kandungan oksigen dalam darah, menyediakan tenaga terlatih dengan pencemaran kimia, menyediakan pengetahuan tentang keselamatan berkaitan bahan kimia melalui kursus-kursus Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
“Menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencemaran kimia secepat mungkin, menjalankan latihan kecemasan jika berlaku pencemaran kimia, menyalurkan sebahagian peruntukan RM6.4 juta daripada kerajaan Persekutuan dan RM1 juta daripada pihak Sultan kepada organisasi yang terkesan,” ujarnya.
Perkara ketiga katanya, adalah menjaga kebajikan penduduk Pasir Gudang dengan mewujudkan pusat gerakan setempat yang kekal, mendaftar penduduk yang pernah menjadi mangsa pencemaran toksik, menyalurkan sebarang bantuan rawatan fizikal atau emosi sekiranya diperlukan.
Jelasnya lagi, ini termasuk memberikan bantuan kewangan atau pampasan secara lebih menyeluruh kepada semua mangsa dan membenarkan cuti bergaji penuh bagi wanita mengandung.
Pihak berwajib juga katanya, perlu mengambil perhatian perkara keempat iaitu menyediakan saluran komunikasi lebih telus kepada rakyat melalui sistem atas talian yang membolehkan aduan dibuat tentang sebarang salah laku melibatkan alam sekitar.
“Rakyat juga perlu mendapat maklumat terkini yang lebih sahih, maklumat tentang kualiti udara semasa yang dipaparkan supaya rakyat dapat merancang gaya kehidupan. Rakyat berhak mendapat maklumat tentang tahap pelaksanaan sesuatu tindakan yang sedang atau bakal dijalankan termasuk mengadakan sesi Town Hall melibatkan pihak-pihak berkepentingan secara berkala,” katanya.
Ujarnya, mewujudkan pelan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang adalah perkata kelima yang perlu dipertimbankang dengan mengumpulkan pakar-pakar dan saintis daripada berbagai bidang dari seluruh negara.
Mereka katanya, akan membentangkan cadangan yang dikemukakan kepada rakyat, membentangkan pelan rangka kerja bagi tindakan yang bakal dilaksanakan dengan garis masa yang ditetapkan dan membentang perkembangan tindakan pada setiap minggu. – UTUSAN ONLINE











