BAGAN DATUK 4 Ogos – UMNO digesa mengenakan tindakan disiplin terhadap pemimpin dan ahli yang tidak lagi sehaluan dengan parti.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang membangkitkan gesaan itu berkata, disiplin dalam parti perlu diperkuatkan tambahan pula UMNO kini bekerjasama dengan Pas.
“Orang yang tak boleh berkhidmat kepada parti, pencenkan dia. Kita tak mahu ada duri dalam daging, barua dalam parti kerana Pas sekarang bersama dengan kita.
“Kita kena tengok supaya kedudukan kita kukuh, kuat dan bersatu bersama-sama rakan komponen serta rakan baru kita Pas,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk, Sungai Sumun, di sini hari ini.
Turut hadir Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad.
Tengku Razaleigh turut menasihati ahli dan pemimpin UMNO supaya tidak menjadi tali barut kepada musuh sehingga sanggup diperalatkan.
“Jangan jadi tali barut orang lain, jangan jadi terlampau bodoh biar orang peralatkan kita. Jangan biar orang terus mencemuh kita hanya disebabkan nak jaga jawatan,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang akhbar kemudiannya, Ahli Parlimen Gua Musang itu menggesa supaya pemimpin UMNO tidak membelakangi pemimpin tertinggi parti dalam membuat sebarang keputusan.
“UMNO sebuah parti yang kuat dan tidak sepatutnya pemimpin UMNO pergi kepada parti yang lebih kecil,” katanya. – UTUSAN ONLINE











