JASIN 4 Ogos – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Melaka-Muar di sini pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.55 pagi mengakibatkan Zulkeplee Keman, 64, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Waja dipandu lelaki berusia 20 tahun dari arah Muar ke Melaka hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Katanya, sebuah kereta Perodua Viva dari arah bertentangan sempat mengelak ke kiri jalan lalu terbalik, namun motosikal di belakangnya tidak sempat mengelak dan dirempuh Waja berkenaan.
“Berikutan rempuhan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala kedua-dua pemandu terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Arshad, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE












