KUALA LUMPUR 4 Ogos – UMNO mesti kekal berada dalam landasan perjuangan untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara meskipun kecundang dalam pilihan raya umum yang lalu.
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, untuk mencapai hasrat itu, parti sentiasa perlu diperkukuhkan agar tidak tersasar daripada objektif sebenar.
Katanya, setiap ahli UMNO perlu rapatkan saf perjuangan bagi berdepan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat bergelut dengan berlaku pelbagai perkara yang berupaya menggugat keharmonian masyarakat walaupun baru memasuki tempoh 15 bulan menjadi Kerajaan Pusat.
“Kita perlu bangkit pertahankan agama, bangsa dan negara kita dengan perkara utama ialah bersatu dan bermuafakat dalam satu landasan untuk masa hadapan kita dan anak cucu kita,” katanya seperti dipetik daripada portal UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam majlis perasmian mesyuarat UMNO bahagian tersebut yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut melahirkan penghargaan kepada ahli-ahli UMNO kerana dapat melaksanakan tanggungjawab kepada parti walaupun dalam keadaan yang penuh kesukaran.
“Syabas dan tahniah kepada ahli-ahli di akar umbi yang masih gigih untuk kekal dalam parti, dapat laksanakan mesyuarat peringkat cawangan sebelum ini dengan lancar walaupun hari ini banyak sekatan dan tekanan kepada kita,” katanya.
Tegas beliau, UMNO terlalu banyak jasa sepanjang penubuhannya bukan kepada ahli-ahli sahaja tetapi juga kepada semua rakyat Malaysia sejak sekian lama.
“Kita perlu faham dan hayati asas tujuan UMNO. Malah jika kita mahu berpaling pun cari dahulu asas dan tujuan apa-apa parti lain yang ada di negara kita,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE











