BESUT – Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Kelantan, Nik Muhammad Azhar Nik Mustapha berdepan detik cemas selepas terkandas hampir 12 jam di dalam kawasan Lata Kolam Air Deru, Kampung La, Hulu Besut dekat sini hari ini.
Nik Muhammad Azhar, 40, yang mengalami kekejangan otot ketika memancing berseorangan di lata itu dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 7.45 pagi.
Katanya, sebelum kejadian, beliau memasuki Lata Kolam Air Deru tersebut bersama empat rakannya untuk memancing pada pukul 10.30 pagi semalam.
“Sebaik tiba di tingkat pertengahan lata tersebut, saya berhenti untuk memancing berseorangan manakala tiga rakan lain memilih untuk naik ke bahagian lebih atas.
“Saya sempat memaklumkan lokasi saya memancing menerusi aplikasi Whatsapp kepada tiga rakan lain sebelum telefon saya kehabisan bateri. Tidak lama kemudian kaki saya mengalami kekejangan otot sehingga tidak dapat bergerak,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Nik Muhammad Azhar berkata, sepanjang berada bersendirian di dalam kawasan air terjun itu, beliau yang tidak dapat bergerak tidak dapat melelapkan mata sepanjang malam dan berharap agar segera diselamatkan oleh pasukan mencari dan menyelamat. – K! ONLINE











