SHAH ALAM – B.Sathinathan mengakui kelekaan pemain yang tidak menumpukan perhatian untuk mengawal pemain Felda United sepenuhnya mengakibatkan Selangor sekadar seri 2-2 pada perlawanan pertama kumpulan D Piala Malaysia malam tadi.
Ketua jurulatih The Red Giants itu berkata, pemain yang berasa selesa selepas mendahului 2-0 hilang fokus menyebabkan segala percaturan pada aksi di Stadium Shah Alam tidak menjadi.
“Pada separuh masa kedua, 30 minit pertama kita banyak menghasilkan peluang tetapi gagal memanfaatkannya dan apabila Felda mendapat penalti pada minit ke-85 saya akui ia kesilapan mudah yang dibuat oleh pemain saya,” katanya.
Sementara itu, pengendali Felda United, Mohd. Nidzam Jamil memuji semangat ditunjukkan anak-anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan.
“Untuk bangkit daripada ketinggalan 2-0 memang saya tidak jangkakan kerana kami bermain di Selangor, tetapi saya bernasib baik kerana pemain percaya sesama sendiri, bangkit melawan.
“Mungkin pada separuh masa pertama kita kurang fokus, mudah dibolosi,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Selangor mendahului menerusi jaringan Mohd. Syazwan Zainon pada minit ke-33 dan berselang tujuh minit pemain Import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun menggandakan jaringan.
Pada minit ke-41, Felda United merapatkan defisit jaringan menerusi D.Christie Jayaseelan sebelum Mohammad Khairul Amri Kamal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85.-BERNAMA











