MELAKA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa membabitkan semua pihak yang terlibat bagi mencari mekanisme untuk mengurangkan kes insiden melibatkan lif di negara ini.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihak yang terlibat dengan mesyuarat jawatankuasa itu termasuklah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Perumahan Negara serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Kita akan panggil semua pihak berkaitan bagi melihat satu mekanisme yang boleh dipertingkatkan untuk memastikan pematauan dan sebangainya dapat dijalankan dengan baik agar insiden membabitlkan lif dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di projek pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Klebang hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden lif terhempas di Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur terhempas sehingga menyebabkan lapan individu cedera pada Jumaat lepas.
“Mengikut laporan memang dipantau, diperiksa, disemak pada waktunya dan lif tersebut baru 12 tahun, namun sebabnya mereka masih belum diketahui dan masih lagi dalam siasatan,” katanya. – Bernama











