De Paula sanggup lakukan apa sahaja - Utusan Malaysia

De Paula sanggup lakukan apa sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Guilherme de Paula sanggup melakukan apa sahaja untuk memikat hati Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan di­pilih mewakili Harimau Malaya pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula September ini.

Penyerang Kuala Lumpur kelahiran Brazil itu memberi jaminan akan memastikan kecergasan dan prestasinya berada pada tahap terbaik apabila proses penilaian terakhir dilakukan FAM pada bila-bila masa.

De Paula, 33, dan Liridon Krasniqi adalah dua nama yang dihantar FAM kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memohon ke­rakyatan bagi membolehkan mereka beraksi sebagai pemain naturalisasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Disenarai pendek oleh FAM untuk mewakili Malaysia adalah satu penghormatan buat saya, namun prosesnya tidak semudah disangka.

“Saya sangat gembira dan berpuas hati sebab FAM membuka peluang kepada saya untuk menjadi rakyat Malaysia.

“Ia satu penghargaan buat mana-mana pemain dapat ber­aksi untuk pasukan kebangsaan kerana itu pencapaian tertinggi buat mereka.

“Jika dipilih mewakili Malaysia, ia umpama mimpi menjadi kenyataan. Saya akan lakukan apa sahaja untuk memastikan saya berada dalam keadaan terbaik dan menarik perhatian FAM,” kata De Paula ketika ditemui ­Mingguan Malaysia semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi semalam menegaskan, kedudukan kedua-dua pemain itu – sama ada layak atau tidak bermain buat negara bergantung kepada kecergasan dan prestasi terkini mereka ketika proses terakhir untuk mendapatkan kerakyatan dilakukan.

Yusoff berkata, biarpun proses dokumentasi sudah dihantar kepada KDN, namun De Paula dan Liridon masih perlu bekerja keras untuk membuktikan mereka benar-benar berbaloi diberikan ke­rakyatan Malaysia.

Ketika ditanya apakah dia layak menyarung jersi Harimau Malaya, De Paula menegaskan, dia akan membuktikan kepada FAM mereka tidak membuat keputusan yang salah.

“Saya seorang pemain profesional. Saya akan pastikan kecergasan dan prestasi di tahap terbaik untuk memberikan sumbangan maksimum kepada pasukan.

“Saya juga sanggup ambil inisiatif melakukan latihan sendiri untuk kekal cergas dan mendapat panggilan Harimau Malaya jika kontrak tidak disambung oleh Kuala Lumpur,” katanya yang bakal tamat kontrak bersama The City Boys pada 31 November ini.

Bagi De Paula, peluang mewakili Malaysia amat mengujakan kerana dia tidak pernah merasai pengalaman bermain buat skuad kebangsaan bersama negara kelahirannya, Brazil.

Bekas penyerang Selangor itu pernah mewakili Pilihan Malaysia di bawah kendalian Dollah Salleh ketika menentang Tottenham pada 27 Mei 2015 yang menyaksikan Spurs menang 2-1. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini