SHAH ALAM- Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertahankan kejuaraan apabila mengungguli Sukan Majlis Sukan Universiti (Masum) yang melabuhkan tirainya semalam.
Kejohanan yang berlangsung bermula 23 Julai hingga 3 Ogos di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kuantan, Pahang itu menyaksikan UiTM memungut 64 pingat emas, 33 perak dan 35 gangsa.
Pencabar terdekat, Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tempat kedua selepas meraih 44 pingat emas, 38 perak, 27 gangsa.
Menurut Ketua Kontinjen UiTM, Mohd.Pisol Saud, kejayaan itu adalah hasil semangat juang yang tinggi di kalangan para atlet dan jurulatih pasukan selain sokongan berterusan dari pihak pengurusan tertinggi UiTM.
Beliau yang merupakan Timbalan Pengarah Pusat Sukan UiTM menjelaskan antara atlet yang menyumbang pingat emas terbanyak adalah pasukan renang yang membolot 13 pingat emas diikuti Taekwando (10 emas), olahraga (9 emas) dan silat (tujuh emas).
“Ini membolehkan UiTM mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.
“Kita juga melebarkan pungutan emas berbanding tahun lalu sekadar 36 pingat emas, 21 perak dan 16 gangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE











