KUALA LUMPUR 4 Ogos – Sebuah jip Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbalik selepas dirempuh sebuah van dalam kejadian di kawasan Kem Kubota, Tawau, Sabah, kelmarin.
Portal Utusan Borneo melaporkan, kemalangan pada pukul 11.20 malam itu terjadi apabila jip ATM berkenaan berlanggar dengan sebuah van.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, anggota tentera berusia 33 tahun yang memandu jip ATM dan pemandu van, seorang lelaki berumur 32 tahun serta penumpang berusia 17 tahun terselamat dalam kejadian itu.
Menurutnya, jip ATM terbabit dalam perjalanan dari arah Kem Kubota menuju ke Batu 3 Jalan Apas manakala van pula dipandu menuju ke Kampung Jawa.
“Siasatan mendapati, kejadian berlaku ketika jip ATM telah melepasi bulatan Kem Kubota dan van tersebut tiba-tiba muncul seterusnya melanggar bahagian kiri jip.
“Impak kemalangan itu menyebabkan jip berkenaan berpusing sebelum terbalik ke bahu jalan sebelah kiri jalan raya dan difahamkan jip mengalami kerosakan retak cermin hadapan manakala van rosak di bahagian hadapan,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan LN 167/ 59. – UTUSAN ONLINE











