18 nelayan ditahan positif syabu, heroin - Utusan Malaysia

18 nelayan ditahan positif syabu, heroin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Seramai 18 nelayan tempatan ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu dan heroin dalam operasi yang dilakukan di perairan Kuala Kedah di sini semalam.

Operasi oleh Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Setar itu bermula pada pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, dalam operasi tersebut, seramai 30 nelayan diminta melakukan ujian saringan air kencing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati 18 nelayan tempatan positif dadah jenis syabu dan heroin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, semua nelayan yang disyaki penagih dadah itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut oleh pihak AADK.

Menurut Mahmad Faizal, operasi tersebut diadakan untuk membasmi masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan nelayan di sekitar kawasan berkenaan serta mencegah kegiatan jenayah maritim lain. 

“Operasi bersama ini juga bertepatan dengan Projek Rintis AADK dalam menangani masalah sosial itu,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang perairan negara.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah dan sebarang aduan di laut boleh menghubungi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini