SHENZEN – Majlis keraian Paris Saint-Germain (PSG) menjulang Piala Super Perancis dibayangi insiden Kylian Mbappe menolak Nyemar daripada bergembira bersama pasukan.
Angel Di Maria dan Mbappe meledak jaringan kemenangan buat juara Ligue 1 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas Rennes di Shenzen.
Gergasi bola sepak Perancis itu berjaya meraih kemenangan tanpa Neymar yang kini begitu terdesak untuk kembali menyertai Barcelona.
Neymar bagaimanapun masih menerima pingat kemenangan sebelum Marco Verratti menariknya masuk untuk bergambar bagi meraikan kemenangan PSG.
Bintang Brazil itu bagaimanapun kelihatan tidak selesa bergambar bersama.
Tidak lama kemudian ketika Verratti masih di atas pentas, Mbappe melakukan perkara luar biasa dengan menolak Neymar keluar daripada bergambar bersama pasukan.
Rakaman video yang tersebar di laman sosial itu menyaksikan Mbappe berada dalam keadaan lain daripada biasa, tanpa sebarang senyuman menolak Neymar keluar.
Walaupun sedang dibelenggu masalah Neymar, PSG membuktikan mereka masih mampu meraih kemenangan tanpa bintang Brazil itu.-AGENSI











