MUNICH – Pengendali Bayern Munich, Niko Kovac menyifatkan pasukannya banyak melakukan kesilapan semasa tewas kepada Borussia Dortmund dalam aksi DFL Supercup dan jelas dia tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.
Dortmund merangkul kejuaraan itu selepas menang 2-0 menerusi jaringan Paco Alcacer dan Jadon Sancho sekali gus menghalang Bayern daripada merangkul trofi itu buat kali keempat berturut-turut.
Thiago Alcantara melorongkan bola kepada Sancho yang kemudiannya melakukan hantaran untuk disudahkan Alcacer oada minit ke-48 sebelum Sancho meledak jaringan kedua ketika perlawanan berbaki 21 minit.
“Sudah pasti kami kecewa kerana kalah. Ini bukan aksi terbaik kami.
“Kami mendominasi permainan tetapi dua kesilapan yang dilakukan kami dimanfaatkan Dortmund. Kami gagal mengambil peluang dan atas sebab itu kami tewas.
“Kami berada dalam minggu keempat aksi pra musim. Ini adalah perlawanan pertama semua beraksi dalam tempoh 90 minit,” katanya.
Bintang Bayern, Joshua Kimmich berkata: “Mereka berhak menang kerana beraksi lebih baik. Kedua-dua pasukan agak lemah pada separuh masa pertama. Kami lakukan serangan pada separuh masa kedua dan kami dibolosi.
“Dortmund banyak melakukan kesilapan dan masalah kami ialah, kami lakukan lebih banyak kesilapan daripada Dortmund.
“Ini bukan pertandingan kelas tinggi kerana kedua-dua pasukan banyak melakukan kesilapan,” katanya.-AGENSI











