LAHAD DATU – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya kini dalam proses perbincangan untuk mewujudkan satu pusat penjualan atau hab kraftangan di daerah ini.
Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata pusat itu nanti akan membolehkan pengusaha kraftangan memasarkan produk mereka.
“Saya telah berbincang dengan pegawai daerah mengenai cadangan ini dan satu tapak untuk membangunkan hab ini telah dikenal pasti. Sekarang kita akan mencari peruntukan untuk membangunkan hab ini,” katanya kepada pemberita selepas Festival Sayangi Lahad Datu di sini malam tadi.
Sempena festival itu, Mohamaddin, yang juga Ahli Parlimen Silam berkata, Kraftangan Malaysia mengadakan makmal pengeluaran produk baharu iaitu tekstil (batik dan jahitan), hasil logam (parang), hasil rimba, dan aneka kraf manik pada 26 hingga 30 Julai lepas dengan penglibatan sebanyak 47 usahawan kraf di daerah ini. – Bernama











