Felda terus hantui Selangor - Utusan Malaysia

Felda terus hantui Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor terus dihantui badi Felda United apabila sekadar berkongsi satu mata dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan permulaan kurang memberangsangkan buat Red Giants dalam misi memburu kejuaraan buat kali ke-34.

Ketumpulan jentera serangan anak-anak buah B. Sathianathan yang gagal menyempurnakan banyak peluang yang terhidang juga menyaksikan mereka berputih mata untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam aksi tersebut, pasukan pelawat terlebih dahulu memperolehi beberapa peluang terbaik untuk mencipta jaringan namun aksi cemerlang penjaga gol tuan rumah, Khairul Azhan Khalid melakukan aksi menyelamat menyaksikan gawangnya tidak dibolosi.

Khairul Azhan berjaya menyelamatkan dua percubaan berturut-turut dilakukan Ahmad Tasnim Fitri Mohd. Nasir dan S. Chanturu pada minit ke-18 sebelum dia sekali lagi menepis keluar percubaan Chanturu pada minit ke-28.

Walaupun menerima tekanan awal, namun Red Giants hanya memerlukan satu peluang yang dimulakan Sandro da Silva dan disudahkan Syazwan Zainon untuk gol pertama tuan rumah pada minit ke-32.

Tujuh minit kemudian, Selangor sekali lagi menggandakan jaringan menerusi Ifedayo Olusegun yang menyudahkan hantaran Syazwan.

Bagaimanapun, Felda United berjaya merapatkan jaringan hasil ledakan Christie Jayaseelan seminit selepas Selangor memperoleh gol kedua.

Bersambung babak kedua, terjahan keras dilakukan Fandi ke atas Jasazrin Jamaludin pada minit ke-83 menyaksikan pengadil, Mohd. Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti buat Felda United dan sepakan itu mudah disempurnakan Khairul Amri Mohd. Kamal untuk meletakkan kedudukan 2-2 hingga akhir perlawanan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini