KUANTAN 3 Ogos – Pahang memulakan kempen Piala Malaysia dengan langkah kanan selepas menewaskan Pulau Pinang 3-1 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
Beraksi di hadapan kira-kira 4,200 penonton, kedua-dua pasukan kebal pada babak pertama perlawanan walaupun masing-masing mempunyai peluang untuk meledak jaringan.
Bersambung separuh masa kedua, Pulau Pinang terlebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah yang memecah kebuntuan jaringan menerusi tendangan kencang pemain importnya, Julian Bottaro pada minit ke-50.
Skuad bimbingan Dollah Salleh bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang sensasi mereka, Dickson Nwakaeme enam minit kemudian.
Pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakarian menghadiahkan sepakan berkenaan selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan pemain Harimau Kumbang, Wan Mohd. Syukri Wan Ahmad.
Sumareh pula muncul sebagai penjaring 10 minit kemudian selepas pemain naturalisasi pertama negara itu menyudahkan bola umpanan Nwakaeme.
Pemain pertahanan Tok Gajah, Muslim Ahmad menambah derita pasukan pelawat apabila bola tandukannya hasil sepakan percuma pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani menerjah ke dalam gawang Pulau Pinang, enam minit sebelum masa perlawanan sebenar tamat. – UTUSAN ONLINE











